BERITA
Raya Lagi Jimat! Diskaun Tol 50 Peratus Sempena Aidilfitri
Berita baik untuk perantau! Kerajaan mengumumkan potongan kadar tol sebanyak 50 peratus sempena Aidilfitri, memberikan lebih kelegaan kepada rakyat yang ingin pulang ke kampung halaman.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, memaklumkan bahawa diskaun tol ini akan berkuat kuasa bermula jam 12.01 tengah malam pada 28 Mac dan berakhir jam 11.59 malam, 29 Mac.
Menurutnya, inisiatif di bawah Kerajaan MADANI ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM19.69 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat.
Hanya Untuk Kenderaan Persendirian Kelas 1
Diskaun ini diberikan hanya kepada kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol, kecuali plaza tol sempadan negara iaitu:- Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS)
- Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya LINKEDUA (Malaysia-Singapura)
"Pemberian diskaun tol ini adalah kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan bagi empat perayaan utama di Malaysia sejak 2023. Ia sejajar dengan teras utama Kerajaan MADANI iaitu Kesejahteraan dan Ihsan, dalam usaha membantu rakyat menghadapi kos sara hidup," kata Alexander.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan tinjauan ke syarikat konsesi penyelenggaraan Jalan Persekutuan di Pejabat Operasi Selia Selenggara Selatan Sdn Bhd, hari ini.
Rancang Perjalanan, Elak Kesesakan!
Dalam pada itu, Alexander mengingatkan pengguna lebuh raya agar merancang perjalanan dengan bijak bagi mengelakkan kesesakan, terutama ketika musim perayaan yang dijangka lebih sibuk.Antara panduan yang disarankan sebelum memulakan perjalanan:
- Ikut jadual waktu perjalanan yang dikeluarkan syarikat konsesi lebuh raya.
- Pastikan kenderaan dalam keadaan baik untuk perjalanan jauh.
- Semak baki e-dompet & Kad Touch ‘n Go, serta bateri SmartTAG mencukupi.
- Gunakan paparan CCTV LLM bagi mendapatkan maklumat trafik semasa.
- Hubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di 1-800-88-7752 untuk info terkini atau bantuan di lebuh raya.
Selain itu, pengguna lebuh raya juga boleh mendapatkan kemas kini trafik dan insiden di media sosial rasmi LLM.
Must-Watch Video