HIBURAN
Ratu Cantik Maut Dilanggar Lepas Jatuh Jambatan, Lari Dari Sekatan Polis
Seorang ratu cantik Eropah, Guler Erdogan maut dalam keadaan tragis selepas terjatuh daripada jambatan sebelum dilanggar kenderaan lain ketika melarikan diri daripada polis.
Wanita yang meninggal dunia pada usia 27 itu jatuh daripada jambatan dengan ketinggian 50 kaki selepas cuba melarikan diri apabila ditahan polis sewaktu memandu di Giresun, Turki, lapor DailyMail.uk.
Menurut laporan sama, Erdogan telah pergi ke sebuah kelab bersama rakannya sebelum memandu pulang ke rumah. Dia bagaimanapun terpaksa berhenti di sebuah sekatan jalan raya dan mendapati dirinya melebihi paras alkohol yang tinggi.
Bimbang dirinya berdepan masalah, Erdogan meninggalkan kereta dan berlari ke arah jalan bertentangan namun hilang keseimbangan sebelum terjatuh ke jalan raya dengan enam laluan di bawah jambatan.
Selepas terjatuh, Erdogan didakwa telah dilanggar oleh sebuah kenderaan yang melalui jalan tersebut.
Rakaman video kejadian yang tersebar menyaksikan wanita itu cuba diselamatkan namun diumum meninggal dunia di tempat kejadian.
Erdogan yang juga merupakan seorang model memiliki ramai pengikut di media sosial. Dia mempunyai 56,000 pengikut di Instagram. Namun selepas kematiannya, semua perkongsian foto dan gambar di akaun media sosial Erdogan dipadam.
Must-Watch Video