HIBURAN
Ramai Tanya Status Jenama dUCk, Ini Jawapan Vivy Yusof - “Dulu Saya Ada Kuasa...Ini Sangat Tidak Adil…”
Usahawan fesyen kontroversi, Datin Vivy Yusof akhirnya menjawab persoalan ramai mengenai status jenama tudung popular miliknya, dUCk.
Menerusi blog peribadinya, Sincerely Vivy, Vivy mengakui hampir setiap hari dia menerima mesej bertanyakan mengenai nasib jenama tersebut.
Jelas Vivy, dia sudah tidak lagi berada dalam proses membuat keputusan berkaitan syarikat itu selepas Khazanah menjual pegangan kepada pelabur baharu.
“Setiap hari, saya akan terima mesej mengenai dUCk. Ada yang bertanya tentang statusnya, kenapa laman web sudah ditutup, di mana mahu beli sekarang, ada yang minta saya jual tudung saya kepada mereka, dan sama ada dUCk akan kembali semula,” tulisnya.
“Saya sudah tidak lagi terlibat dalam proses membuat keputusan. Sejak Khazanah menjual kepada pelabur baharu, saya hanya tinggal sebagai pemegang saham minoriti dan hilang kerusi lembaga serta kawalan terhadap syarikat.
“Apabila isu penjualan saham Khazanah dalam syarikat saya dibangkitkan di Parlimen dan SPRM membekukan semua akaun kami untuk tujuan siasatan (ini pengetahuan umum – keluar di semua media), ia seolah-olah membunuh kami terus, kami tidak boleh berniaga lagi. Tamat.
“Syarikat tidak dapat bayar sesiapa, tidak mampu bayar sewa menyebabkan pusat beli-belah menutup premis kami, tidak dapat membayar produk baharu sehingga semuanya jatuh merudum…ia ibarat tangan kami terikat dan selepas beberapa bulan, mana-mana syarikat pun dalam keadaan begitu pasti akan mati,” jelasnya lagi.
Menurut Vivy, keadaan itu sangat menyedihkan kerana dia terpaksa melihat jenama yang dibina dengan penuh kasih sayang kini hanya tinggal kenangan.
“Ia sangat tidak adil. Dan jika inilah realiti yang menimpa usahawan di Malaysia, kita ada banyak perkara untuk difikirkan.
“Namun saya terpaksa menerima takdir jenama yang saya cipta dengan penuh kasih dan perhatian kini sudah menjadi sejarah. Ia tempat paling menyakitkan untuk saya berada, iaitu hanya mampu melihat dari luar,” katanya.
Vivy turut mendedahkan, rakan-rakan terdekatnya antara yang paling kecewa dengan penutupan dUCk.
“Rakan-rakan baik saya yang paling awal rasa kecewa. Mereka kata, ‘Mana kami nak beli tudung putih sekarang?!’
“Kalaulah saya tahu, baik saya jual tudung putih sahaja. Pasti ada dua pelanggan tetap,” katanya berseloroh.
Dalam pada itu, Vivy mengakui terharu dengan sokongan luar biasa komuniti dUCk sepanjang jenama itu wujud.
“Ya Allah, sangat luar biasa limpahan kasih daripada komuniti dUCk yang kita bina.
“Walaupun jenama itu tidak lagi wujud, ada sesuatu yang menghubungkan kita dan ia akan kekal selamanya. Itu sangat istimewa, dan paling ‘limited edition’ sekali,”katanya.
Pada 5 Disember 2024, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah dana pelaburan PNB dan Khazanah Nasional Berhad bernilai RM8 juta.
Mereka didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah Fashion Valet Sdn. Bhd. yang diamanahkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan PNB melakukan pecah amanah dana pelaburan tersebut.
Kedua-dua tertuduh membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik Fashion Valet kepada syarikat 30 Maple Sdn. Bhd. tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat Fashion Valet.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank Plaza Damansara Bukit Damansara di sini pada 21 Ogos 2018.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Pada 22 Januari lalu, pasangan itu sekali lagi mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pilihan menyalahgunakan dana pelaburan PNB dan Khazanah Nasional Berhad bernilai RM8 juta.
Mengikut pertuduhan pilihan, mereka didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan PNB berjumlah RM8 juta.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan sebatan dan denda. 

Jenama Alternatif Duck
Pilihan hijab moden ini beri gaya eksklusif, selesa & anggun pada harga lebih berbaloi.
Beli SekarangMust-Watch Video