GAYA HIDUP
Pusing Satu Shopping Mall Di Malaysia Boleh Cecah 12,000 Langkah
Berjalan-jalan di pusat beli-belah bukan sekadar aktiviti membeli-belah, tetapi juga merupakan satu bentuk senaman ringan yang ramai tidak sedar.
Sama ada anda sekadar “window shopping” atau benar-benar mencari barangan, anda mungkin sudah berjalan beribu-ribu langkah tanpa anda sedari!
Tular di media sosial sebuah perkongsian memaparkan satu infografik yang menunjukkan anggaran jumlah langkah yang diperlukan seseorang jika berjalan mengelilingi beberapa pusat beli-belah utama di Malaysia.
Menurut infografik yang dikeluarkan Publuc Health Malaysia itu, terdapat empat buah pusat beli belah iaitu di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang tersenarai dengan anggaran jumlah langkah.
1. Mid Valley Megamall + The Gardens (Kuala Lumpur)
Anggaran langkah: 6,000 – 10,000 langkah. Anggaran ini adalah jika anda berjalan dan memusing di semua tingkat dalam kedua-dua pusat beli-belah ini. Mid Valley dan The Gardens dihubungkan antara satu sama lain dan sangat popular di Lembah Klang, menjadikannya destinasi beli-belah yang sangat sibuk dan luas.
2. 1 Utama (Petaling Jaya)
Anggaran langkah: 8,000 – 12,000 langkah. Ini termasuk jika anda berjalan di bahagian East Wing dan New Wing. 1 Utama merupakan salah satu pusat beli-belah terbesar di dunia, dengan pelbagai jenama, kedai, restoran dan juga tarikan hiburan.
3. IOI City Mall (Putrajaya)
Anggaran langkah: 10,000 – 15,000 langkah. Ini anggaran jika anda berjalan dari hujung ke hujung setiap tingkat. IOI City Mall ialah antara pusat beli-belah terbesar di Malaysia, dengan saiznya yang sangat luas termasuk taman dalam bangunan, tempat luncur ais, taman tema tertutup dan banyak lagi.
4. Queensbay Mall (Pulau Pinang)
Anggaran langkah: 5,000 – 8,000 langkah.
Merupakan pusat beli-belah terbesar di utara Semenanjung, Queensbay Mall terletak berhampiran laut dan menjadi tumpuan utama penduduk Pulau Pinang serta pelancong.
Ternyata kunjungan ke pusat beli-belah boleh menjadi salah satu cara yang menyeronokkan!
Walaupun tidak membeli apa-apa, berjalan dari satu hujung ke hujung lain di pusat beli-belah besar boleh memberikan manfaat kesihatan fizikal, terutamanya dari segi kecergasan dan kesihatan jantung.
Must-Watch Video