Berita

Pusat Hiburan Dengan Layanan Tip RM5,000 GRO Digempur

gempak
Gempak
04/01/2025
09:56 MYT
Sponsor Banner
Pusat Hiburan Dengan Layanan Tip RM5,000 GRO Digempur
Aktiviti pusat hiburan mewah dua tingkat yang menempatkan kelab malam dan karaoke KTV di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, dengan layanan tip RM5,000 gadis pelayan pelanggan (GRO) terbantut selepas premis itu digempur, pada Sabtu.
Serbuan bermula kira-kira jam 12.15 tengah malam itu dijalankan sepasukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur dengan kerjasama JIM Melaka hasil risikan selama sebulan.
Sinar Harian yang mengikuti operasi terbabit mendapati seorang wanita warga Vietnam disyaki GRO bertindak melarikan diri dan menyorok di sebalik timbunan kain dan baju.
Semasa ditahan, wanita itu merengek dan merayu agar tiada tindakan dikenakan terhadapnya selepas semakan dokumen mendapati dia sepatutnya bekerja dalam sektor pembersihan.
Selain itu, tinjauan di beberapa bilik KTV menemui peralatan disyaki untuk menghisap dadah yang digunakan pengunjung.
Bukan itu sahaja, terdapat seorang lelaki tempatan cuba mengganggu tugas pemeriksaan imigresen apabila mendakwa seorang wanita Thailand yang ditahan adalah isterinya.
Namun, semakan nama yang diberikan oleh lelaki terbabit adalah tidak sama dengan dokumen milik wanita tersebut.
Operasi selama tiga jam itu juga berdepan provokasi daripada beberapa individu apabila segelintir mereka itu mendakwa mengenali VIP kononnya dengan harapan agar wanita itu dilepaskan oleh pegawai operasi.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi selama tiga jam ini telah menahan 123 warga asing disyaki PATI terdiri daripada 54 lelaki serta 69 wanita.
"Mereka yang ditahan dipercayai pengunjung, pekerja selain majikan tempatan dan wanita terbabit disyaki GRO serta penari.
"Warga asing yang ditahan antaranya membabitkan warga China, Korea, Singapura, Vietnam, Thailand serta Sierra Leone," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi serbuan di sini.
Beliau berkata, pemeriksaan menemui kalung selempang yang dijadikan sebagai tip kepada GRO bernilai RM100 sehingga RM5,000 selain bayaran harga bilik KTV sekitar RM5,000 sehingga RM8,000.
Tambahnya, antara kesalahan dikesan ialah tiada dokumen sah, salah guna syarat pas dan tinggal lebih masa selain majikan yang melindungi serta menggajikan PATI.
Tindakan diambil mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Sumber: Sinar Harian
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024