VIRAL
Polis Siasat Video Pelajar UiTM Berpakaian Seperti Kumpulan Pelampau Bangsa
Polis menjalankan siasatan berhubung video tular memaparkan sekumpulan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) didakwa berpakaian menyerupai kumpulan pelampau bangsa.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya sebelum ini menerima laporan dibuat berkaitan video berkenaan kira-kira jam 7.24 petang pada Selasa.
"Laporan polis dibuat seorang lelaki tempatan yang menyatakan terdapat satu video yang dikatakan berkaitan diskriminasi kaum, ekoran daripada video yang dimuat naik oleh salah seorang pelajar UiTM Dengkil.
"Siasatan awal mendapati video itu dipercayai merupakan hasil daripada tugasan pelajar UiTM bagi subjek Contemporary Global and Legal Issues, yang mana tugasan itu berkaitan dengan Ku Klux Klan (KKK)," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Katanya, semakan berdasarkan video berkenaan mendapati terdapat lakonan semula apa yang berlaku suatu masa dahulu, di mana orang kulit putih telah membunuh orang kulit hitam.
"Apabila tercetusnya gerakan KKK ini, maka satu undang-undang baharu bagi menghalang diskriminasi kaum telah dilaksanakan.
"Setakat ini siasatan berkaitan video ini masih dijalankan secara lanjut," katanya.
Menurutnya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau berkongsi berita yang tidak benar, yang boleh membawa kepada kegusaran awam.
Terdahulu, UiTM pada Selasa mengesahkan video tular itu adalah sebahagian daripada sesi pembentangan tugasan akademik.
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib berkata, ia bagi kursus Contemporary Global and Legal Issues bertujuan menggalakkan pemikiran kritikal dan kesedaran penuntut terhadap isu-isu hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, dalam sesi tersebut, pelajar telah memilih untuk membentangkan isu berkaitan diskriminasi kaum dan kebencian berasaskan warna kulit yang merupakan antara pelanggaran hak asasi manusia yang pernah berlaku di beberapa negara.
Menurut beliau, kostum serta elemen visual yang digunakan bertujuan membantu meningkatkan kefahaman dan penghayatan terhadap topik yang dibentangkan, serta memberi gambaran lebih menyeluruh dari perspektif sejarah dan global.
Ujar beliau, pensyarah dan pihak fakulti yang bertanggungjawab turut memastikan pembentangan dijalankan secara terkawal dan berlandaskan prinsip akademik, tanpa menyentuh sebarang sensitiviti berkaitan agama, budaya mahupun perkauman.
Jelas beliau, tiada sebarang elemen penghinaan terhadap mana-mana agama disebut atau dibincangkan sepanjang sesi tersebut berlangsung.
Sebelum ini tular video di media sosial memaparkan sekumpulan pelajar didakwa berpakaian menyerupai kumpulan pelampau bangsa.
Must-Watch Video