BERITA
Polis Sahkan Wujud Adegan Bogel Dalam Program eHati
Polis mengesahkan wujud adegan bogel dalam program motivasi rumah tangga eHati yang berlangsung di sebuah pusat konvensyen di sini pada September lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati adegan itu merupakan sebahagian daripada acara program yang dikenali sebagai 'Queens Night'.
"Hasil siasatan mendapati memang berlaku aktiviti berbogel melibatkan kira-kira empat individu.
"Acara Queens Night ini bersifat tidak bermoral dan berunsur lucah, aktiviti yang dijalankan termasuk apa yang dipanggil sebagai 'Rebirth' kononnya untuk menaikkan motivasi diri," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Rabu.
Katanya, siasatan mendapati terdapat dua pakej ditawarkan berkaitan program ini iaitu pakej A dan pakej B.
"Terdapat dua pakej ditawarkan kepada peserta iaitu dengan bayaran sebanyak RM6,000 bagi pakej A dan RM9,000 bagi pakej B.
"Pakej B ini yang dipercayai berakhir dengan acara Queens Night dan siasatan berkaitan aktiviti ini dijalankan di bawah Seksyen 294 Kanun Keseksaan," katanya.
Menurutnya, program ini dianjurkan oleh sebuah syarikat, melibatkan fasilitator dan peserta tertentu yang masih dalam siasatan polis.
"Setakat ini, tiada sebarang rakaman video atau gambar berkaitan acara Queens Night yang ditemui.
"Hanya wanita dipercayai terlibat secara langsung dalam acara ini, namun siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada terdapat kehadiran lelaki dalam sesi tersebut," katanya.
Hussein berkata, pihaknya turut merampas beberapa cecair yang digunakan semasa program terbabit.
"Cecair berkenaan dipercayai digunakan sebagai minuman dan telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis sama ada mengandungi dadah atau bahan terlarang lain.
"Selain Seksyen 294, polis turut membuka siasatan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil," katanya.
Terdahulu, enam individu termasuk pasangan suami isteri pengasas program motivasi rumah tangga eHati dan seorang anak mereka direman tiga hari oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.
Perintah reman itu dikeluarkan bagi membantu siasatan kes mengaibkan seseorang, berkelakuan tidak senonoh dan dakwaan melakukan jenayah kesalahan kecil.
Majistret, Ameera Mastura Khamis mengeluarkan perintah demikian selepas membenarkan permohonan daripada pihak polis.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video