PMTEPIKAKGEE
#PMTepiKakGee; Sepupu Saling Jatuh Cinta, Takut Bersemuka Keluarga
SOALAN
Kak Gee nama saya Mira. Usia saya 23 tahun dan masalah saya adalah jatuh dengan sepupu yang berusia 25 tahun.
Sebenarnya kami saling jatuh cinta dan sudah menjadi kekasih sejak setahun lalu. Semuanya berpunca dari kepercayaan keluarga kami yang menyuruh sepupu menjaga saya yang melanjutkan pelajaran di ibu kota, sementara sepupu atau Z pula sudah bekerja di sini.
Masalah kami sekarang adalah takut untuk berterus terang dengan keluarga kami. Sebelum ini saya pernah juga bergurau dengan ibu. Saya katakan kepadanya saya suka lelaki yang mempunyai ciri ciri seperti Z, namun ibu nampak tak senang. Katanya dia tak suka kalau saya berjodoh dengan sepupu sendiri, tak berkembang dan ibu tak mahu ada kecacatan dalam keluarga.
Tapi buat kami, terutama Z, dia ingin membawa hubungan kami lebih jauh. Dia mahu menghantar rombongan bertunang sekaligus menikahi saya tahun depan.
Cuma bagaimana cara kami untuk memberitahu tentang hubungan kami kepada keluarga?
Yang Benar,
Mira
Kredit Foto: Berita Harian
JAWAPAN
Hi Mira, Kak Gee harap anda sihat, begitu juga dengan Z dan keluarga kalian. Begini Mira, dalam Islam tiada larangan untuk menikah dengan sepupu. Itu juga bermakna Allah membenarkan sekiranya sehingga ada yang menikah sesama sepupu.
Cuma Kak Gee faham, biasanya ibu atau bapa kita ada yang lebih suka jika boleh, menikahlah kalian dengan bukan sepupu. Mungkin ada alasan alasan tersendiri yang mereka pegang.
Jadi di sini anda dan Z harus memainkan peranan yang sangat baik. Berhalus dan bertemulah keluarga masing masing.
Jika mengikut cerita anda, hanya ibu yang nampak seperti kurang senang, tetapi sebenarnya anda belum lagi cuba duduk bersamanya dan ayah dan membincangkan perkara ini dengan lebih serius dan matang.
Begitu juga Z, sebagai seorang lelaki dia seharusnya bersikap lebih berani dan gentleman dalam mempertahankan hubungannya dengan anda. Selain dia terlebih dahulu perlu memaklumkan hubungan kalian kepada keluarganya, Z juga boleh berdepan dengan keluarga anda yang juga sepupunya.
Kak Gee percaya sebenarnya keluarga anda okay dengan Z, jika tidak mereka tidak akan meletakkan kepercayaan kepadanya untuk menjaga anda di ibu kota. Cuma biasalah, mereka mungkin terkejut atau tak sangka kalian saling jatuh cinta.
So Mira jangan terlalu berprasangka. Duduk bersemuka dan cakap elok elok. Insya Allah keluarga kalian akan faham.
Kak Gee: Jika ada sebarang masalah, hantarkan persoalan anda di laman sosial Astro Gempak, Facebook, Instagram atau Twitter... PM Tepi je!
Must-Watch Video