HIBURAN
Pernah ‘Disidai’ Bayaran 2 Tahun, Syafie Naswip Kini Lebih Tegas Tuntut Hak Sebagai Pelakon - “Saya Akan Teliti Kontrak Dari Awal…”
Pelakon, Syafie Naswip tampil mendedahkan pengalamannya ketika berdepan isu bayaran tertunggak dalam industri lakonan.
Kongsi Syafie atau Muhammad Syafie Naswip, dia pernah menunggu sehingga dua tahun untuk menerima bayaran yang sepatutnya ketika menjayakan sebuah naskhah yang tidak didedahkan judulnya.
“Paling lama kena sidai sehingga dua tahun. Sampailah saya ugut buat laporan polis, barulah mereka bayar. Tapi perkara itu sudah lama terjadi, saya masih muda ketika itu sebelum Songlap terbit,” katanya ketika ditemui di tayangan perdana filem Mantera di Starling Mall, Petaling Jaya.
Kini, selepas lebih sedekad berkecimpung dalam dunia lakonan, Syafie mengakui dirinya lebih matang dan tidak lagi membenarkan pihak produksi mengambil kesempatan.
Malah, aktor berusia 33 tahun itu juga menegaskan kepentingan memahami kontrak sebelum bersetuju dengan sebarang penglibatan dalam produksi.
“Sekarang saya sudah dewasa, tiada lagi yang mahu mengambil kesempatan terhadap saya.
“Kalau saya kata perlu bayar sekian jumlah sebelum penggambaran, mereka perlu bayar. Sama juga kalau bayar selepas penggambaran tamat, paling lambat seminggu.” ujarnya.
“Apabila kita sudah terkena situasi begitu, kita akan belajar. Jadi sebelum penggambaran bermula, saya akan teliti kontrak dari awal sampai akhir,” ujarnya lagi.
Mengulas hubungan profesional dengan produksi yang pernah ‘menyidai’ bayaran, Syafie berkata tiada permusuhan, namun dia tetap akan menuntut hak seperti dalam kontrak.
“Kami tidak gaduh pun, kalau jumpa kami tegur sahaja.
“Cuma saya akan tuntut sampai dapat seperti apa yang dipersetujui dalam kontrak. Jika mereka tidak boleh bayar, kena beritahu awal-awal. Jangan ‘sidai’ saya begitu,” tambahnya.
Dalam pada itu, Syafie turut memuji kesungguhan pengarah Mantera, Chester, yang disifatkan memahami selok-belok produksi dan menjaga kebajikan pelakon.
Menurutnya, ada produksi yang tidak menjaga aspek ini, dan menyalahgunakan masa serta tenaga pelakon.
“Chester tahu tentang kepengarahan, prop di lokasi kerana sebelum ini dia memiliki pengalaman menjadi penerbit. Dia tahu apa yang diinginkan termasuk ‘shoot’. Saya nampak kesungguhannya.
“Bagi saya, bayaran adalah nombor dua. Apa yang penting ialah produksi fikirkan tentang kebajikan pelakon seperti tempat tinggal, makan, duit minyak dan sebagainya.
“Ada yang beri jumlah tertentu, tapi lenjan pelakon sampai dua, tiga hari. Ada juga yang tidak boleh sediakan tempat tinggal.
“Produksi ini beri saya tidur yang secukupnya, apalagi yang saya mahu rungutkan?,” katanya lagi.
Sekadar info, filem Mantera, yang mengangkat kisah tentang amalan ritual Bobolian dalam masyarakat Dusun Sabah, akan mula menemui penonton di pawagam bermula 24 April ini.
Filem arahan Chester ini turut dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Nam Ron, Jovenia Jim, Larry Noh dan ramai lagi.
Must-Watch Video