BERITA
Penyanyi Sambilan Dibunuh: Mayat Ada 14 Kesan Tikaman, 1 Kena Jantung
Bedah siasat mayat penyanyi sambilan disyaki dibunuh di rumah sewanya di Taman Seri Mangga, Malim, Melaka, mendapati terdapat 14 kesan tikaman pada tubuh mangsa dengan satu daripadanya tepat mengenai jantung dan menyebabkan kematiannya.
Mangsa Alami 14 Tikaman
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kesimpulan itu dibuat doktor pakar perubatan forensik yang melakukan bedah siasat mayat Ling Lu Cheng, 52, di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka bermula 9 pagi hingga 5.10 petang, Isnin lalu.
Menurutnya, berdasarkan laporan bedah siasat pakar perubatan forensik mengesahkan si mati mengalami 14 luka tikaman iaitu tiga di bahagian muka, lima masing-masing di bahagian dada serta lengan bawah kiri dan tangan kiri selain satu pada betis kanan.
"Hasil pemeriksaan dalaman mayat, pakar perubatan forensik mengesahkan si mati mengalami 'kecederaan fatal' iaitu satu luka tikaman di dada kiri yang menembusi 'aorta interkostal' kedua dan menembusi sehingga ke 'aorta menaik' (ascending aorta).
"Ini menyebabkan pendarahan dan pengumpulan darah dalam kantung jantung sehingga menyebabkan kematiannya.
"Doktor pakar mengesahkan punca kematian si mati adalah disebabkan 'stab wound to the aorta' atau luka tikaman pada aorta," katanya dalam kenyataan.
Meninggal Dunia Lebih 24 Jam Daripada Bedah Siasat
Mengulas lanjut beliau berkata, menerusi pemeriksaan fizikal mayat juga, pakar terbabit turut menemukan kesan luka hiris pada bahagian dada dan tangan kiri si mati serta lebam di dahi kirinya.
"Mangsa yang beralamat di Taman Sri Aman, Masjid Tanah itu juga disahkan meninggal dunia lebih dari 24 jam daripada waktu bedah siasatan dijalankan," katanya lagi.
Media sebelum ini melaporkan seorang wanita ditemui mati disyaki dibunuh di dalam bilik sebuah rumah teres di Jalan Seri Mangga, Pokok Mangga di sini dan polis percaya motif disebabkan perasaan cemburu suspek lelaki yang menghuni bilik sama.
Dalam kejadian itu, mangsa yang juga ibu tiga anak dan berusia 52 tahun ditemui terbaring di atas katil dalam keadaan berlumuran darah dipercayai akibat ditikam suspek.
Sumber: Harian Metro
Must-Watch Video