BERITA
Penyanyi Sambilan Dibunuh Di Melaka Disyaki Kerana Cemburu
Seorang lelaki ditahan reman tujuh hari bermula Isnin selepas dipercayai membunuh kekasihnya dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Seri Mangga, Melaka pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, lelaki berusia 54 tahun itu ditahan polis ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka akibat kecederaan.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada cemburu dan salah faham antara mangsa dengan suspek.
"Suspek dipercayai cedera kerana cuba membunuh diri dan polis turut merampas senjata tajam dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu.
"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah beliau, polis masih menunggu keputusan bedah siasat sama ada suspek meninggal dunia disebabkan tikaman pada anggota badannya atau sebaliknya.
Difahamkan pergaduhan tercetus kerana sikap suspek yang cemburu buta kerana mangsa sering dihantar ke lokasi menyanyi dengan individu lelaki lain.
Sinar Harian pada Ahad menyiarkan seorang penyanyi sambilan yang juga ibu kepada tiga anak ditemukan mati dipercayai dibunuh teman lelaki di rumah sewa berkenaan.
Dalam kejadian jam 11 pagi, mangsa berusia 52 tahun dan telah menyewa di rumah dua tingkat itu bersama kekasihnya sejak beberapa bulan lalu, ditemukan dalam keadaan terbaring atas katil.
Dalam pada itu Christopher turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden V Somsundram, di talian 06-2842222.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video