BERITA
Penduduk Negeri Wakal Solat Sunat Aidilfitri Hari ini
Penduduk di Negeri Wakal, Maluku Tengah, Indonesia menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Nurul Awal pada pagi Sabtu, dua hari lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan kerajaan, lapor portal Kumparan News.
Raja Negeri Wakal, Ahaja Sunet berkata, mereka memulakan ibadah puasa dua hari lebih awal, menyebabkan sambutan 1 Syawal jatuh pada hari Sabtu.
"Penduduk Wakal telah menunaikan solat Aidilfitri hari ini kerana kami menetapkan 1 Ramadan pada hari Khamis. Maka, selepas 30 hari berpuasa, 1 Syawal jatuh pada hari Sabtu," katanya.
Beliau menegaskan bahawa penetapan tarikh adalah berdasarkan kiraan bulan, bukan merujuk kepada kalendar rasmi.
Sementara itu, Ketua Polis Leihitu, Iptu Moyo Utomo berkata, selain Wakal, beberapa negeri lain turut akan menunaikan solat Aidilfitri lebih awal.
"Hari ini di Negeri Wakal, esok ada di Negeri Hila, Seith, Kaitetu dan Lima. Kami memastikan kawalan keselamatan berjalan lancar dan keadaan wilayah terkawal," katanya.
Selepas solat, penduduk Negeri Wakal saling bersalaman dan berkunjung ke rumah saudara-mara bagi meraikan Aidilfitri.
Sumber: Sinar Harian menerusi Agensi
Must-Watch Video