HIBURAN
Pembebasan Eda Ezrin Bukti Tak Bersalah, Keluarga Rancang Tahlil Kesyukuran
Penyanyi terkenal dari Kelantan, Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, dibebaskan hari ini selepas hampir sembilan bulan ditahan di Penjara Wilayah Narathiwat, Thailand.
Menurut laporan The Star, pembebasan Eda dibuat selepas Mahkamah Wilayah Narathiwat mendapati tiada bukti kukuh yang mengaitkan dia dan lima individu lain dengan pemilikan 6,059 pil methamphetamine yang ditemui di sebuah bilik hotel di Sungai Kolok pada November tahun lalu.
Sementara itu bapa Eda, Wan Ismail Wan Yusuf, 52 menyifatkan pembebasan penyanyi itu sebagai bukti tidak bersalah.
“Pembebasan Ezrin hari ini (Rabu) membuktikan dia tidak bersalah,” luahnya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Menurutnya lagi, selepas mengetahui anak sulungnya itu bebas pada jam kira-kira 2.20 petang Rabu, air mata jatuh berguguran tanpa henti.
"Alhamdulillah, sembilan bulan kami berada dalam keadaan yang sukar digambarkan memikirkan dia ditahan di Penjara Pusat Narathiwat.
Hari ini Eda Ezrin dibebaskan. Saya belum memaklum lagi kepada dua anaknya," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Wan Ismail memberitahu, mereka akan mengadakan kenduri serta tahlil kesyukuran di masjid berdekatan rumah pada malam Khamis.
Selain Eda, lima individu lain yang turut dibebaskan ialah suami Eda Ezrin, Mohd Affendi Ahmad, 35; Eridieka Mohd Noor, 33; Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; dan Zuhaira Nasrin, 26.
Kesemua mereka sebelum ini didakwa atas tuduhan pemilikan dadah, namun rakaman CCTV menunjukkan dadah tersebut dibawa masuk oleh tiga individu lain yang tidak termasuk dalam kalangan tertuduh.
Sumber: AWANI
Must-Watch Video