HIBURAN
Pelawak Asal Johor, Ronny Chieng Kini Rakyat Amerika Syarikat… Lepaskan Kerakyatan Malaysia - “Saya Kena Jawab 100 Soalan”
Pelawak dan pelakon terkenal kelahiran Malaysia, Ronny Chieng, mencuri tumpuan apabila mendedahkan beliau kini secara rasmi merupakan warganegara Amerika Syarikat.
Anak jati Johor Bahru itu berkongsi berita gembira tersebut dalam satu temu bual baru-baru ini apabila disapa pelakon legenda Bill Murray.
“Oh, apa khabar?” seru Chieng sambil tertawa, menyambut Bill Murray yang menghampirinya untuk berjabat tangan.
Apa yang menarik perhatian adalah ketika Murray berkata dengan senyuman kepada Chieng.
“Mereka kata kamu sangat teruja hari ini kerana kamu baru tahu kamu sudah menjadi warganegara Amerika,” ujar Murray.
Dengan ekspresi teruja, Chieng mengangguk.
“Hari yang gila, gila. Terima kasih, terima kasih banyak,” ucap Chieng.
Dalam pada itu., Ronny Chieng yang terkenal menerusi rancangan The Daily Show dan filem Crazy Rich Asians itu turut berkongsi proses untuk mendapatkan kewarganegaraan AS.
Bukan sesuatu proses mudah, Chieng harus menjalani temu duga naturalisasi dan menjawab pelbagai soalan sejarah serta sistem pemerintahan negara tersebut.
“Saya terpaksa pergi untuk temu duga, mereka tanya macam 100 soalan, soalan-soalan yang saya yakin tak seorang pun daripada kamu boleh jawab.
“Saya kena hafal berapa banyak koloni yang ada, negeri-negeri dan siapa Presiden sekarang, memang sangat susah.”
Ronny Chieng yang menetap di New York itu membina kerjaya cemerlang di peringkat antarabangsa selain aktif dalam dunia hiburan Amerika sejak beberapa tahun lalu.
Must-Watch Video