Pelancong Malaysia Maut Jatuh Dari Hotel Di Phuket
Seorang lelaki warga Malaysia meninggal dunia dipercayai terjatuh dari sebuah hotel di pulau peranginan popular di Wilayah Phuket pagi Jumaat.
Laporan Polis Thailand turut memaklumkan bahawa mangsa disahkan meninggal dunia di sebuah hospital di daerah Patong, Wilayah Phuket, pada 1.30 pagi Jumaat akibat kecederaan teruk di bahagian kepala.
Sementara itu, ketika dihubungi, pejabat Konsulat Malaysia di Songkhla mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan bahawa jenazah telah dituntut oleh waris pada pagi Sabtu.
"Pihak konsulat telah membantu menguruskan jenazah dari daerah Patong ke wilayah Sadao melalui jalan darat sehingga sempadan Bukit Kayu Hitam.
"Ahli keluarga mangsa dijadualkan membawa jenazah ke Sungai Buloh untuk urusan pengebumian," menurut pihak Konsulat Malaysia.
Pihak Konsulat juga membantu menguruskan permit pengebumian di Malaysia.
Sumber: Astro AWANI