Laman Utama
Night, Mother Ketengah Isu Terpencil, Naskhah Teater Pertama Arahan Pat Gui
Apakah agaknya dialog-dialog yang dibualkan jika seseorang itu tahu tentang masa depannya?
Begitulah yang dapat disaksikan oleh penonton menerusi teater Night, Mother yang kini sedang rancak dipentaskan di Nero Event Space, PJ Pac, Petaling Jaya, Selangor.
Pat Gui, pengarah bagi pementasan ini ketika ditemu bual berkata, dia memilih untuk mementaskan naskhah tulisan Marsha Norman itu kerana mesej yang tersirat di dalamnya.
“Saya sudah lama dalam industri pementasan teater. Sudah lebih 30 tahun. Saya juga telah bekerja dengan ramai karyawan-karyawan terbaik sepanjang karier. Jadi, saya memilih untuk mengarah sekurang-kurangnya satu karya sepanjang kerjaya.
“Night, Mother dipilih kerana karakter yang ada dalam naskhah ini dekat dengan saya. Lagipun, saya boleh rasa apa yang Jessie utarakan dalam naskhah dan bagaimana Thelma cuba untuk meyakinkan Jessie supaya tidak melakukan hal yang bukan-bukan sangat meruntun jiwa.
“Ketika membaca skrip, saya sudah terfikirkan Anitha dan Sukania untuk membawakan kedua-dua watak ini. Saya sangat teruja apabila mereka berdua bersetuju untuk menjayakan pementasan ini.
“Naskhah Night, Mother ini merupakan naskhah yang berbeza. Jika penonton mahukan sesuatu yang diluar jangkaan, boleh datang menonton Night, Mother,” katanya.
Dijayakan oleh dua pelakon sahaja, iaitu Anitha Abd Hamid yang memegang watak anak bernama Jessie dan Sukania Venugopal sebagai ibu Jessie iaitu Thelma; Night, Mother merupakan teater satu babak yang sarat dengan mesej berat.
Pementasan satu babak itu dimulakan dengan rutin harian Jessie, seorang ibu tunggal penghidap penyakit sawan sedang mengemas dan mengelolakan rumah yang turut didiami bersama si ibu, Thelma.
Ketika itu, Thelma tidak melihat sebarang keanehan, sehinggalah Jessie bertanyakan di mana Thelma menyimpan pistol milik mendiang ayahnya. Selepas Jessie mengambil senjata api berkernaan, perbualan anak-beranak itu terus berubah. Saksikan Night, Mother untuk mengetahui pengakhiran perbualan antara Jessie dan Thelma.
Night, Mother dipentaskan bermula 6 hingga 9 Januari sebelum berehat sehari dan kemudian disambung semula pada 11 hingga 15 Januari 2022. Tiket berharga RM95 boleh didapati ni pautan ini: https://onetix.com.my/event-detail/?id=19
Must-Watch Video