Laman Utama
Neelofa Ke Langkawi Kerana Lawatan Kerja Bersama Chatime Malaysia, Bukan Bulan Madu!
Chatime Malaysia tampil memberikan kenyataan berhubung kekeliruan dan kontroversi melibatkan pasangan selebriti Neelofa dan suami, PU Haris.
Ia berikutan isu Neelofa dan suami, Haris Ismail atau PU Riz yang didakwa sedang berbulan madu di Pulau Langkawi dan dikatakan telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana merentas negeri untuk tujuan tersebut.
Menerusi sebuah hantaran di laman sosial rasmi Instagram (IG) Chatime Malaysia malam tadi, syarikat minuman itu telah menjelaskan sebab keberadaan Neelofa di pusat peranginan terkenal itu.
Menurut kenyataan yang dimuat naik, Neelofa dalam rangka lawatan kerja untuk tujuan pembukaan cawangan-cawangan baru Chatime di Zon Utara iaitu Langkawi dan Sungai Petani, Kedah serta Kangar, Perlis.
“Kenyataan rasmi berkenaan lawatan kerja melibatkan Neelofa untuk tujuan pembukaan cawangan-cawangan baru Chatime di Zon Utara (Langkawi & Sungai Petani (Kedah), Kangar (Perlis). Terima kasih,” kata kenyataan tersebut.
Kenyataan tersebut turut menyatakan lawatan tersebut melibatkan beberapa kakitangan dari Bahagian Operasi dan Pengurusan Chatime Malaysia.
Kebenaran merentas negeri ke Langkawi juga telah diperolehi dari balai polis berdekatan mengikut SOP yang telah ditetapkan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni turut mengesahkan Neelofa ke pulau peranginan atas tujuan kerja.
Menurutnya, wakil syarikat produk minuman terbabit membuat permohonan rentas negeri di Balai Polis Sri Hartamas.
"Hasil semakan mendapati borang Permit Pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membenarkan pergerakan keluar empat individu itu bermula 27 Mac hingga 4 April untuk urusan kerja.
"Syarikat terbabit mengemukakan surat tertera nama Neelofa dan tiga yang lain sebagai mewakili mereka untuk melawat lokasi perniagaan yang akan dibuka di sana," katanya seperti yang dilaporkan Harian Metro.
Bagaimanapun, katanya, sekiranya terbukti Neelofa ke Langkawi untuk tujuan berbulan madu, pihak polis boleh mengambil tindakan kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Isnin lalu, beberapa gambar memaparkan Neelofa dan suaminya, Haris Ismail berada di Langkawi tular di media sosial dengan dakwaan mereka berbulan madu.
Must-Watch Video