BERITA
Nasib Eda Ezrin, Suami Serta 4 Rakan Mungkin Ditentukan Mahkamah Agung Thailand
Nasib penyanyi lagu Bae Soba Bae, Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, bersama suami serta empat rakannya, mungkin ditentukan oleh Mahkamah Agung Thailand.
Memetik laporan Apakhabartv.com pada Rabu, jurucakap Mahkamah Wilayah Narathiwat, Thailand berkata, situasi itu tidak mustahil berlaku berdasarkan kes-kes sebelum ini.
“Dengan jumlah dadah yang dirampas terlalu banyak... ya, kes ini dijangka dibawa ke Mahkamah Rayuan, malah mungkin sehingga ke Mahkamah Agung. Ini pastinya akan memakan masa bertahun-tahun untuk diselesaikan.
Jika bebas, semua bebas, kalau bersalah semua akan dipenjara.
“Dadah yang dirampas banyak tetapi tiada siapa yang mengaku, inilah yang pendakwa raya akan buktikan. Sekiranya seorang atau dua orang mengaku, yang lain akan bebas,” katanya.
Menurut jurucakap itu, Mahkamah Wilayah Narathiwat telah meluluskan permohonan pendakwa raya untuk melanjutkan tempoh memfailkan rayuan terhadap pembebasan penyanyi wanita sohor dari Kelantan itu, suaminya serta empat rakan mereka daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda jenis methamphetamine.
Katanya, keputusan itu menyaksikan Eda Ezrin bersama suami serta empat lagi rakannya akan terus ditahan di Penjara Pusat Narathiwat sehingga 6 Julai depan.
“Ini adalah kali keempat mahkamah membenarkan permohonan pendakwa raya untuk melanjutkan tempoh memfailkan rayuan sejak semua tertuduh dibebaskan oleh mahkamah pada 6 Mac lalu.
“Mengikut undang-undang Thailand, pendakwa raya dibenarkan mengemukakan permohonan sehingga empat kali bagi melanjutkan tempoh memfailkan rayuan.
“Pihak pendakwa raya mesti mengemukakan permohonan tersebut dari bulan ke bulan dan tidak melebihi empat kali,” katanya.
Terdahulu, mahkamah telah meluluskan permohonan pertama pendakwa raya bagi tempoh 6 Mac hingga 6 April, kedua (6 April-6 Mei) dan ketiga (6 Mei-10 Jun).
Jurucakap itu turut memaklumkan bahawa permohonan lanjutan keempat telah dikemukakan oleh pihak pendakwa raya pada 30 Mei lalu.
“Ini adalah permohonan kali keempat dan terakhir. Tempoh lanjutan kali ini akan berakhir pada 6 Julai depan.
“Dalam tempoh sebelum 6 Julai, pendakwa raya hanya boleh mengemukakan rayuan untuk perbicaraan semula kes itu di Mahkamah Rayuan,” katanya lagi.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video