Hiburan
Nama Makin Popular, Thalita Dedah Layanan Rakan Sebaya Mula Berubah - “Memang Saya Kena Palau…”
Selepas semakin dikenali, anak kepada pelawak Shuib mendedahkan dia telah dipulaukan oleh beberapa rakan sebaya.
Layanan berubah
Akui terkejut dengan situasi tersebut, Thalita atau nama sebenarnya Dzahira Thalita Zahra, 13, bagaimanapun tidak mengetahui punca sebenar mengapa layanan rakan sebayanya berubah.
“Memang saya kena ‘palau’ (dipulaukan) kawan-kawan. Entah kenapa ada yang ‘jealous’, saya tak tahu tapi saya tak kisah. Apa pun saya masih Thalita yang sama.
“Saya menyedari perkara itu selepas muncul di Bukit Bintang tempoh hari. Apabila di sekolah, ada beberapa orang saya perasan mula menjauhkan diri atau bercakap buruk fasal saya belakang.
“Terkejutlah juga, tapi saya buat tak tahu selain berharap keadaan kembali macam dahulu kerana saya tak mahu masam muka dengan sesiapa. Saya cuma nak jadi penyanyi, itu sahaja,” katanya ketika ditemui selepas sidang media Konsert By Ajai & Mega Friends, baru-baru ini.
Dalam pada itu, mengulas mengenai perasaannya sewaktu membuat persembahan di Bukit Bintang baru-baru ini, Thalita akui gagal menahan air mata selepas melihat ribuan penonton hadir memberikan sokongan terhadapnya.
“Bila tengok orang sanggup datang tengok saya menyanyi di khalayak ramai buat pertama kali buatkan hati saya jadi sayu. Nyanyi pula lagu ibu, terus menangis.
“Memang lagu Kesetiaan juga merupakan kesukaan saya. Syukur sebab semua orang pun suka lagu ibu saya itu,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Thalita Menangis Lantunkan Lagu Arwah Ibu, 3 Pagi ERA & Genji Buskers Tawan 5,000 Penonton Di Bukit Bintang!
ARTIKEL BERKAITAN: Thalita Sebak Dapat Peluang Nyanyi Bersama 3 Pagi Era Di Bukit Bintang - “Rupanya Dia Terlalu Nak…”
Sementara itu, mengulas mengenai penglibatan dirinya dalam konsert By Ajai & Mega Friends di Singapura 10 Mei depan, Thalita berkongsi dia akan membawakan dua lagu.
“Saya seronok sebenarnya dapat tawaran ‘uncle’ Ajai sebab bukan sahaja dapat sertai konsert, ini pertama kali saya pergi Singapura,” katanya.
Selain Thalita, konsert tersebut bakal disertai ramai penyanyi hebat termasuk Dayang Nurfaizah, Aina Abdul, Hafiz Suib, Hazama dan Asmidar.
Must-Watch Video