HIBURAN
Nam Ron Tolak Watak Pedofilia, Tak Sanggup Lukakan Diri Sendiri Secara Emosi - "Kena Tahu Bila Perlu Berhenti"
Pelakon dan pengarah, Nam Ron mendedahkan terpaksa menolak tawaran melakonkan watak lelaki pedofilia kerana tidak sanggup menyakiti diri sendiri secara emosi demi menghidupkan karakter sedemikian.
Menurut Nam Ron atau Shahili Abdan, 56, meskipun terbuka dengan pelbagai karakter mencabar, tawaran tersebut tidak dapat diterima kerana melibatkan perlakuan amang seksual terhadap kanak-kanak.
“Pada peringkat umur sekarang saya ditawarkan watak lelaki pedofilia hingga melibatkan gangguan seksual terhadap kanak-kanak.
“Jadi saya terpaksa tolak sebab ia satu rasa yang sangat berat untuk dibuat. Bagi saya, ia akan menyakitkan secara dalaman kerana lakonan ini ada kaitan dengan rasa,” katanya.
Pengalaman membawa watak-watak beremosi tinggi sebelum ini membuatkan Nam Ron lebih berhati-hati dalam menerima naskhah yang memberi kesan berpanjangan terhadap kehidupan peribadi.
"Antara naskhah yang memberi impak kepada kehidupan saya sebelum ini adalah drama Karlos yang ditayangkan pada 2013. Watak Rashid yang dibawa ketika itu menceritakan seorang bapa panas baran, kaki pukul, pemabuk dan suka berjudi sehingga saya terbawa-bawa emosi ke rumah. Masa itu saya betul-betul masuk dalam karakter.
"Saya jadi cepat marah, sampai tengking anak-anak hanya sebab benda kecil. Mereka jadi terpinga-pinga kenapa saya berkelakuan pelik dan bukan seperti yang mereka kenal.
“Sekarang saya dah tahu bagaimana nak kawal. Bila berada di luar set, saya tinggalkan karakter itu di belakang. Kita berlakon guna rasa, tapi kena tahu bila perlu berhenti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nam Ron kini terlibat dalam pementasan teater Persiapan Seorang Aktor yang bakal dipentaskan di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) pada 17 hingga 20 Julai ini.
Mengulas penglibatan dalam naskhah tersebut, Nam Ron berkata sesi latihan berlangsung dalam suasana yang menyeronokkan kerana pengarah Syahrul Musa memberi ruang yang selesa untuk berkarya.
“Saya rasa seronok kerana banyak dibantu oleh pengarah yang sangat tenang dan tidak memberi tekanan kepada pelakon. Kami bebas berkongsi pendapat.
“Barisan pelakon utama seperti Aloy Paradoks dan Fazleena Hishamuddin juga sangat bagus dan berpengalaman. Saya tidak bermula dengan teater, jadi banyak belajar daripada mereka,” katanya.
Persiapan Seorang Aktor menyelami perjalanan seorang pelakon dalam mencari makna dan kejujuran di sebalik setiap watak yang dibawakan. Naskhah ini turut menyelongkar kisah seorang pelakon lelaki yang obses untuk mencapai kesempurnaan dalam lakonan bukan sahaja sebagai pelakon terbaik di Malaysia, malah untuk melangkaui kehebatan legenda-legenda seni pentas dunia.
Tiket sudah mula terjual dan boleh didapati di www.onetix.com.my dengan harga RM58, RM78 dan RM98.
Must-Watch Video