Nak Bergaya Dengan Tumit Tinggi, Kena Dapatkan Permit Dulu
Sebuah pekan kecil di Monterey, California di Amerika Syarikat (AS), menetapkan larangan pemakaian kasut tumit tinggi melebihi lima sentimeter tanpa permit yang sah.
Menurut media Oddity Central pada Isnin, peraturan itu dikuatkuasakan di kawasan Carmel-by-the-Sea, Monterey sejak tahun 1963 atas permintaan Peguam Bandaraya.
Ia menetapkan bahawa sesiapa yang ingin memakai kasut tumit tinggi di tempat awam perlu mendapatkan kebenaran rasmi daripada pihak Dewan Bandaraya Carmel-by-the-Sea.
Permit tersebut diberikan secara percuma kepada orang ramai yang membuat permohonan.
Dalam pada itu, perkara tersebut menjadi salah satu tarikan pelancong kerana ramai yang memohon permit itu sebagai kenang-kenangan walaupun tidak berniat untuk memakai kasut bertumit tinggi.
Sijil kebenaran itu pula mempunyai reka bentuk yang menarik dan akan disertakan nama pemohon serta ditandatangani oleh kerani bandar.
Peraturan itu mula diperkenalkan selepas pihak bandar mendapati akar pokok yang membesar telah menyebabkan permukaan kaki lima menjadi tidak rata.
Kebanyakan bandar di California terkenal dengan pokok cemara dan pain Monterey yang tumbuh besar serta mempunyai akar yang luas.
Susulan itu, akar pokok sering menolak permukaan konkrit hingga mencetuskan risiko kepada pejalan kaki.
Peguam bandar ketika itu mencadangkan supaya permit kasut tumit tinggi diperkenalkan bagi mengurangkan kemungkinan orang awam menyaman pihak berkuasa sekiranya berlaku kecederaan.
Sumber: Sinar Harian