BERITA
Nahas Gerik: Pemandu Bas Mengaku Tidak Bersalah Sebabkan Kematian 15 Penuntut UPSI
Pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan maut melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Isnin lepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Gerik pada Jumaat terhadap 15 pertuduhan memandu secara merbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga mengancam nyawa orang awam selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Amirul Fadhil sebagai pemandu bas didakwa telah memandu dengan cara merbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian 15 penuntut UPSI pada kira-kira 1.15 pagi di KM53 Jalanraya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli pada 9 Jun lepas.
Pelajar terbabit ialah Fakhrul Arif Rosdi, 20, Mohammad Aqil Taqiuddin Mohd Sofian, 21, Nik Amni Nadiah Nik Nor Zabir, 21, Nurul Fatihah Abu Setaman, 22, Nurul Izyanti Muhamad Azahar, 21, Sufea Adela Maslihaizan, 21, Nur Ainul Qistina Mat Ali, 21.
Pelajar lain ialah Nur Dalilah Farhana Mohamad Isma, 21, Nurly Sahirah Azman, 23, Fatin Nasrien Fadli, 22, Muhammad Mustaqim Rosde, 21, Anis Soffiyya Md Zaidi, 20, Nor Ayuni Maslan, 21, Muhammad Adib Hazim Halim, 21 dan Wan Nur Suhaila Wan Muhammad, 22.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda maksimum tidak lebih RM50,000, serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun, jika sabit kesalahan.
Bagi satu lagi pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda minimum RM5,000 atau kedua-duanya serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM19,000 bagi semua pertuduhan dengan dua penjamin di samping perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap minggu, selain semua lesen memandunya digantung sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 14 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk tertuduh melantik peguam.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Perak Muhammad Zaki Abdul Kudos bersama dua Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Moganaraj Mithra.
Dalam kejadian awal pagi Isnin, 15 penuntut UPSI maut manakala 33 lagi cedera apabila bas dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan di KM53, JRTB berhampiran Tasik Banding, Gerik selepas berlanggar dengan sebuah kenderaan Perodua Alza.
Sumber: BERNAMA
Must-Watch Video