Hiburan
Nabila Razali Umum Hamil Anak Sulung, Dijangka Bersalin Januari Depan
Penyanyi, Nabila Razali mengumumkan kini sedang hamil anak sulung dan dijangka akan bersalin pada Januari tahun hadapan.
Nabila atau nama sebenarnya, Nur Nabila Mohd Razali, 32 bersama suami, Nik Iruwan Nik Izani,39, meluahkan rasa syukur dan teruja atas anugerah yang diterima.
“Alhamdulillah, saya dan suami sangat bersyukur dengan rezeki ini. Terima kasih atas doa dan sokongan semua. Ini adalah saat yang sangat membahagiakan buat kami, dan kami tidak sabar untuk berkongsi perjalanan ini dengan semua yang sudah menyokong kerjaya dan kehidupan saya,” katanya.
Menurut pelantun lagu Pematah Hati itu, dia masih lagi meneruskan kerjaya seninya yang sudah dirangka sepanjang tahun ini.
“Tidak dinafikan sekarang ini cepat penat dan lebih banyak berehat. Sebab sebelum ini bila bekerja, memang susah nak berhenti.
Sekarang adalah waktu yang kita rasa nak tidur saja.Namun, saya masih komited dalam bidang seni terutama beberapa kerja yang sudah dirancang lebih awal. Apa pun, saya cuba untuk buat dengan sehabis baik,” ujar Nabila dalam satu kenyataan.
Nabila berkata, dengan sokongan daripada keluarga, rakan-rakan, dan peminat setia, dia yakin fasa ini akan menjadi satu lagi bab indah dalam kehidupannya.
“Fasa ini sebagai titik permulaan dengan kesyukuran dan kegembiraan, di mana setiap detiknya menjadi satu pengalaman berharga yang pasti akan diabadikan dalam memori kehidupan sebagai satu bab yang penuh keindahan dan pengisian makna.
“Saya percaya bahawa fasa baharu ini juga menjadi sebuah cerita indah buat saya dan suami. Doakan semoga perjalanan kehamilan saya ini dipermudahkan sehingga bersalin nanti,” katanya.
Berkongsi mengenai keadaan dirinya sepanjang kehamilan ini, Nabila berkata tiada perubahan ketara melainkan selera makan yang kian bertambah.
“Alhamdulillah, saya tidak ada apa-apa keinginan yang melampau dan alahan yang teruk. Hanya yang biasa saja. Kalau ada pun perubahan dari segi tenaga. Tapi, bagi saya ia mungkin perkara biasa bagi wanita hamil.
“Perkara lain, tentulah banyak makan. Selera makan saya bertambah-tambah. Apa pun, saya mahu nikmati saja perjalanan sepanjang kehamilan ini,” katanya.
Terdahulu, Nabila dan suami selamat melangsungkan perkahwinan pada 18 November tahun lalu.
Must-Watch Video