HIBURAN
Nabil Ahmad Bina Madrasah Hampir Cecah RM50,000 - “Saya Punyai Impian Kalau Boleh…”
Penyampai radio, Nabil Ahmad mendedahkan kos pembinaan sebuah madrasah di kediaman keluarganya yang terletak di Mambau, Negeri Sembilan hampir mencecah RM500,000.
Nabil atau nama sebenarnya, Ahmad Nabil Ahmad, 42, berkata perancangan tersebut dijangka bermula pada awal tahun hadapan dan turut merangkumi penempatan khusus untuk pelajar tahfiz.
"Tanah lebih kurang seluas satu ekar setengah dan saya akan guna sepenuhnya.
"Kos untuk membina madrasah termasuk penempatan para ustaz, pelajar dan tempat untuk orang datang mengaji sekitar RM500,000.
"Sekarang ini saya biaya sendiri tempat pembinaan itu tetapi insya-Allah nanti saya akan buka kepada sesiapa yang ingin turut serta (menyumbang).
"Apabila saya war-warkan saya mahu buka madrasah ramai yang mesej saya mahu turut serta,” katanya kepada Gempak.
Nabil berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis pelancaran dan sidang media The Chosen One XTRA X Jutawan Ekspress yang berlangsung di Astro Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selada.
Tambahnya lagi, pengacara Gegar Vaganza itu turut menyatakan hasrat agar ibunya berpeluang menyaksikan sendiri proses pembinaan madrasah tersebut.
Ini kerana pembinaan rumah pusaka berkenaan merupakan impian ibunya yang ingin beliau realisasikan.
"Ibu saya sering tanya mengenai madrasah itu sebab sekarang sudah lapan tahun dia menjalani rawatan dialisis.
"Dia juga risau sebab dia pun sudah tua jadi dia mahu buat bekalan untuk akhirat.
"Saya tengah cuba secepat mungkin untuk memulakan pembinaan madrasah itu. Saya punya impian, kalau boleh saya mahu ibu lihat proses pembinaan itu sendiri.
"Jika umur dia panjang, saya nak dia tengok sampai madrasah itu didiami pelajar dan siap sepenuhnya,” jelasnya.
Sebelum ini, Nabil berkongsi di media sosial menyatakan hasratnya mahu menjadikan rumah milik keluarganya sebagai madrasah.
Perkongsian Nabil menerima pelbagai reaksi positif yang rata-rata memuji pelawak itu serta mendoakan agar perancangannya berjalan dengan lancar.
Sekadar info, Nabil Ahmad merupakan pengacara baharu untuk rancangan realiti kanak kanak, The Chosen One XTRA yang bakal menemui penonton pada 25 Julai 2025, setiap Jumaat, jam 9.00 malam di saluran Astro Ceria (saluran 611) dan Astro Ria (saluran 104).
BERITA BERKAITAN: Puji Sikap Ammar Ahyan, Nabil Ahmad Kagum Cara Aliff Syukri & Isteri Didik Anak - “Dahsyat Budak Itu…”
BERITA BERKAITAN: Buat Video TikTok Bersama Anak, Wajah Nabil Ahmad Curi Tumpuan Netizen - “This Man Does Not…”
BERITA BERKAITAN: Pesanan Ibu Buat Hati Nabil Ahmad Lebih Tenang - “Dia Pesan ‘Majikan’ Kita Adalah Allah…”
BERITA BERKAITAN: Nabil, Azad, Radin Syukur Kembali Bekerja, Mahu Beri Yang Terbaik Buat Pendengar – “Kami Hormat Dan Hargai Semuanya”
Must-Watch Video