HIBURAN
Meriahnya Ramadan Raya! Elyana & Ella Antara Yang Terlibat Di FESTIRA 2025
Festival Ramadan Selangor (FESTIRA 2025) yang kekal menjadi pilihan ramai sebagai lokasi membeli-belah setiap kali menjelang Ramadan dan Aidilfitri kembali lagi dan kali ini untuk edisi ke sebelas.
Tradisi bulan Ramadan
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, FESTIRA 2025 dianjurkan di beberapa lokasi seperti Kompleks PKNS Shah Alam, SACC Mall, Kompleks PKNS Bangi dan Plaza Alam Sentral.
“Festival ini telah menjadi sebahagian daripada tradisi terutamanya pada bulan Ramadan dan juga persiapan Hari Raya Aidilfitri.
“Saya percaya kita mempunyai pengikut yang bukan sahaja pengusaha kedai tetapi suasana dalam PKNS itu sendiri.
"FESTIRA 2025 ini bukan sekadar kita sambut perayaan atau buat persiapan, tetapi menjadi satu platform meningkatkan pencapaian ekonomi dalam kalangan pengusaha,” katanya ketika melancarkan Majlis Perasmian FESTIRA 2025 di SACC Mall, Shah Alam baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis perasmian adalah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Korporat) PKNS, Suhaimi Kasdon, Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani dan Pengurus Besar, Hartanah & Fasiliti PREC, Yusri Abdul Manaf.
FESTIRA 2025 yang merupakan anjuran Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menerusi anak syarikatnya PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) ini turut mendapat sokongan daripada pihak Tourism Selangor.
Jalinan kerjasama strategik ini dilihat dapat menyemarakkan lagi Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS 2025) dalam memperkukuh kedudukan aset-aset Kumpulan PKNS sebagai destinasi pelancongan utama di negeri Selangor.
FESTIRA pada tahun ini juga turut menyaksikan kolaborasi buat pertama kalinya dengan beberapa badan dan agensi kerajaan negeri serta korporat seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS), Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Bateriku.Com.
Selain itu, FESTIRA 2025 turut mendapat kerjasama daripada Koperasi PKNS Berhad dan Indigital Music.
Berkonsepkan Cahaya Neon Raya, pengunjung FESTIRA 2025 turut berpeluang untuk memenangi sebuah motosikal elektrik dan pelbagai hadiah menarik sempena kempen Cabutan Bertuah Beli, Imbas dan Menang.
Pelbagai booth jualan dibuka
Malah festival ini juga turut menyediakan banyak tempat jualan makanan dan minuman bagi memudahkan pengunjung untuk berbuka puasa di bazar Ramadan di Komplek PKNS Shah Alam yang menempatkan lebih daripada 130 buah gerai.
Tahun ini terdapat lebih 1,000 usahawan yang menjual pelbagai jenis barangan keperluan seperti kelengkapan raya lelaki, wanita dan kanak-kanak, pelbagai aksesori, aneka kuih raya, barangan perhiasan dan kelengkapan rumah, makanan dan minuman serta banyak lagi.
Menariknya lagi, setiap hujung minggu, para pengunjung FESTIRA 2025 akan dihiburkan dengan pelbagai aktiviti dan persembahan pentas menarik antaranya adalah persembahan daripada artis tempatan seperti Najwa Latif,Ameliya, Elyana, Mark Adam, Azzam Sham, Nomad, Syura, Naufal Adzrin, Ani Mayuni, Ronnie Hussin, Bienda, Aweera, Syarifah Zarina, Dafi, Zehra Zambri, Ezlynn, Haiza, Aman Aziz, Najmi Niery dan ramai lagi.
Pengunjung juga akan dihiburkan oleh persembahan dari kumpulan nasyid tempatan sepertiKumpulan Rabithah, Afad Raihan, Ayedan, Kumpulan Mestica dan Bazli UNIC.
Sama seperti tahun-tahun sebelum ini, FESTIRA terus mengangkat bakat dan menjadi platform kepada anak seni seperti kumpulan busker untuk mempersembahkan karya mereka kepada orang ramai.
Acara tradisi FESTIRA yang lain seperti kaunter zakat dan wakaf,penyediaan ruang solat yang selesa, bersih dan luas serta solat tarawih berjemaah masih dikekalkan.
FESTIRA 2025 dengan tema Tradisi Ramadan Meriah Lebaran berlangsung selama 48 hari bermula 11 Februari 2025 sehingga 30 Mac 2025 di Kompleks PKNS Shah Alam, Kompleks PKNS Bangi, SACC Mall Shah Alam, Plaza Alam Sentral Shah Alam dan GaleriaSA Sentral.
Untuk info, FESTIRA merupakan cetusan inspirasi yang diilhamkan sendiri oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
FESTIRA direka khusus bagi menyokong agenda kerajaan negeri dalam usaha membantu pengusaha tempatan seria usahawan kecil dan sederhana.
Kredit foto: @pkns_corporation
Must-Watch Video