VIRAL
Menguap Luas Sangat! Lelaki Cemas Rahang 'Terkunci' Akibat Letih Main Video Game
Seorang pemuda di Indonesia berdepan detik cemas apabila rahangnya terkunci dan gagal ditutup semula selepas menguap terlalu kuat akibat keletihan bermain permainan video sehingga lewat malam.
Menurut laporan media tempatan, kejadian berlaku apabila lelaki tersebut menguap dengan mulut ternganga luas dan secara tiba-tiba tidak dapat menutupnya kembali.
Panik dengan keadaan itu, dia segera dibawa ke sebuah klinik gigi oleh rakan-rakannya untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
Pemeriksaan doktor mendapati pemuda itu mengalami dislokasi rahang – satu keadaan di mana sendi rahang tergelincir daripada kedudukan asal disebabkan tekanan berlebihan semasa membuka mulut.
Kejadian itu menjadi tular selepas video yang merakamkan pemuda tersebut menerima rawatan dimuat naik oleh rakannya.
Video tersebut pantas meraih perhatian netizen yang rata-rata terkejut, namun tidak dapat menahan reaksi lucu terhadap insiden yang berlaku.
“Seram pula nak menguap lepas ni,” komen seorang pengguna media sosial.
Pakar perubatan turut mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati ketika menguap, terutama jika membuka mulut terlalu luas secara tidak terkawal, kerana ia boleh mengakibatkan kecederaan yang jarang dijangka seperti dislokasi rahang. - Agensi
Must-Watch Video