Laman Utama
Mengarah, Berlakon & Menerbit! Syakir Daulay Mahu Jadi Seperti P.Ramlee - "Ya Bukan Mudah"
Pengarah muda Indonesia, Syakir Daulay mahu mengikut jejak langkah idolanya, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dengan menjadi seorang anak seni serba boleh.
Justeru, Syakir yang baru berusia 21 tahun itu mengambil risiko memegang posisi penerbit, pengarah dan pelakon serentak dalam karya sulungnya, Imam Tanpa Makmum.
Meskipun sedar cabaran besar yang menantinya, malah sempat dihalang oleh banyak pihak yang meragui kebolehannya pelakon kelahiran Aceh itu tetap berani mengambil risiko.
"Ya, memang bukan mudah pegang tiga posisi serentak dalam satu karya. Sebagai penerbit saya harus memastikan kru dan pelakon semua berada dalam keadaan baik dan di kerusi pengarah saya perlu pastikan penggambaran berjalan seperti mana yang dijadualkan.
"Sementara di posisi pelakon saya perlu lontarkan nilai seni dan lakonan dengan baik. Selepas merasainya cabarannya, cukuplah dalam karya ini sahaja saya pegang begitu banyak tanggungjawab.
"Memang karya ini dibikin untuk saya belajar. Pada masa depan rasanya lebih selesa untuk berada di kerusi pengarah dalam karya yang dibikin sendiri.
"Jika karya orang lain, saya lebih suka menjadi pelakon sahaja. Saya cuba untuk menjadi seperti P.Ramlee," ujar Syakir yang memegang watak sebagai Imam.
Ditebak mengapa dia begitu meminati seniman agung dari Malaysia itu, kata Syakir, dia terpesona dengan karya-karya P.Ramlee yang bukan sahaja malar segar tetapi juga memilik isi yang memberi impak kepada masyarakat.
"Karya-karya P.Ramlee bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi turut mempunyai mesej-mesej yang jelas untuk sesuatu isu buat masyarakat.
"Saya mahu jadi seperti beliau yang sehingga sekarang jika dilihat semula karya-karyanya masih dapat menjentik hati dan memberi rasa pada penonton," tutur Syakir yang mengemari filem Madu Tiga, Ibu Mertuaku dan juga Bujang Lapok.
Mengangkat tema nikah muda, filem Imam Tanpa Makmum yang menelan kos RM1.4 juta terbitan dan arahan aktor, Syakir Daulay ini agak berbeza daripada kebanyakan naskhah dari negara seberang itu.
Menyentuh tentang tema perkahwinan muda, menurut Syakir filem yang telah ditayangkan di Indonesia pada 19 Oktober lalu itu akan membuatkan penonton melihat alam perkahwinan dengan pandangan yang berbeza.
Filem Imam Tanpa Makmum yang dibintangi oleh Syakir Daulay, Rayisa Nayla Salwa, Vonny Felicia, Cut Mini Theo, Lukman Sardi dan Arif Brata itu akan mula ditayangkan dipawagam seluruh negara pada 30 November 2023.
SINOPSIS Imam Tanpa Makmum
Perjalanan tentang kisah Imam (Syakir Daulay) yang terpaksa mencari calon isteri selepas ibunya (Cut Mini Theo) memintanya untuk segera berkahwin. Meskipun hatinya enggan berkahwin muda, Imam seorang anak yang begitu patuh pada permintaan ibunya.Pertemuannya dengan Naira (Vonny Felicia), seorang pemain biola yang mempunyai rumah singgah untuk anak jalanan telah membuatkan Imam jatuh cinta. Sayangnya, ibu Imam menentang keras hubungan mereka kerana kehidupan malam Naira.
Sementara itu, pada masa yang sama seorang gadis bernama Zahra (Rayisa Nayla Salwa) yang merupakan pelajar pesantren (sekolah agama) telah bersedia untuk menjadi isteri Imam. Di manakah perjalanan Imam berakhir? Apakah ibunya bersetuju akan hubungannya bersama Naira atau memaksanya untuk bersama Zahra?
Must-Watch Video