BERITA
Mayat Hud Aryan Ditemui Tersangkut Pokok Di Muara Sungai
Pencarian Hud Aryan Mohd Nor Hafifi berusia 19 bulan yang dilaporkan hilang sejak malam kelmarin berakhir apabila mayatnya ditemui sebentar tadi.
Tersangkut di pokok
Mayat kanak-kanak itu ditemui terlekat pada pokok di tebing muara sungai di Kampung Kerila jam 4.20 petang.
Mayat terbabit ditemui selepas 45 jam kanak-kanak terbabit dilaporkan hilang dengan lokasi penemuan kira-kira tiga kilometer dari rumah keluarga mangsa.
Difahamkan, lokasi penemuan mayat itu sudah beberapa kali dilalui sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan, namun ketika itu gagal mengesan mangsa.
Mayat dihantar untuk proses bedah siasat
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Mohd Zulkifli Osman, ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat itu.Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanah Merah (HTM) untuk bedah siasat dan keluarga turut diminta ke hospital.
"Mayat ditemui pasukan penyelamat dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Bomba dan orang awam.
"Ketika kejadian paras air sungai tinggi dan hari ini air sudah surut mendorong kepada penemuan mangsa," katanya ketika dihubungi.
Suasana di rumah keluarga mangsa diselubungi kesedihan apabila kedua-dua ibu bapa Hud Aryan menerima berita penemuan mayat itu.
Ibu mangsa, Azean Nur Atikah Ramley, 34, tidak mampu menahan sebak dan meraung sebelum ditenangkan ahli keluarga lain.
Terdahulu, media melaporkan operasi SAR yang bermula pagi ini akan menggunakan dua anjing pengesan dari Unit K9.
Pada masa sama, operasi yang kini memasuki hari ketiga turut dibantu penduduk kampung.
Hus Aryan dilapor hilang dari rumah keluarganya dekat Kampung Aira Kuala Tiga di sini, selepas disedari tiada dalam rumah kira-kira jam 7.20 malam oleh ahli keluarga.
Sebelum itu, Hud Aryan berada dalam rumah kerana diberi makan oleh ibunya sebelum wanita terbabit masuk ke dapur selepas selesai menyuap nasi kepada kanak-kanak terbabit.
Sumber: Berita Harian
Must-Watch Video