BERITA
Mangsa Nahas Bas Gerik Alami Cacat Kekal - Noraini
Beberapa mangsa nahas bas persiaran di Gerik, Perak pada 9 Jun lalu dikenal pasti mengalami kecederaan serius yang mengakibatkan kecacatan kekal.
Siasatan terperinci sedang dilakukan
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, siasatan terperinci sedang dilakukan oleh pihak kementerian bagi mengenal pasti bentuk bantuan susulan yang akan diberikan kepada mangsa.
Menurutnya, kes yang melibatkan kecederaan serius seperti patah kaki, kehilangan anggota badan dan kecederaan jangka panjang akan diberikan perhatian khusus.
Katanya, kesemua kes yang membabitkan kecacatan kekal akan melalui proses siasatan dan penilaian sebelum bantuan susulan disalurkan.
"Dari segi jumlah mangsa yang alami kecacatan kekal akibat insiden ini masih dalam siasatan kerana ada mangsa masih menerima rawatan di hospital termasuk di Perak dan Terengganu.
"Jadi biarlah mereka stabil dahulu sebelum kita jalankan proses lanjut kerana proses ini kita perlu lakukan secara berhemah," katanya seperti yang dilapor Sinar Harian.
Bantu sebaik mungkin
Noraini berkata, mesyuarat pasca Kabinet Kementerian turut memutuskan agar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turun padang dan melakukan siasatan ke atas semua mangsa untuk memastikan tiada yang tercicir daripada menerima bantuan.
"Kita tidak mahu mereka yang mengalami kecederaan kekal ini terbeban dari sudut kewangan dan emosi.
"Tanggungjawab kita adalah untuk hadir membantu mereka sebaik mungkin," ujarnya.
Dalam pada itu, Noraini turut memaklumkan pihak kementerian turut menyalurkan bantuan Pelindungan Ekonomi dan Kesejahteraan Rakyat (Peka) dalam bentuk wang tunai di samping khidmat kaunseling psikologi oleh Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) secara bergerak.
"Khidmat ini boleh bergerak ke mana-mana kalau sekiranya perlukan bantuan mereka boleh datang (ke lokasi mangsa)," ujarnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, bas yang membawa 42 penumpang terdiri daripada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna berhampiran Tasik Banding, Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, Perak.
Seramai 15 mangsa terkorban dalam nahas tersebut manakala 33 lagi mengalami pelbagai kecederaan.
Terdapat lagi beberapa mangsa masih dirawat di hospital.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video