Mahkamah Tolak Saman Lebih RM1.7 Bilion Ke Atas Isteri Pelakon 'Deadpool'
Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat pada Isnin menolak saman yang difailkan oleh pelakon dan pengarah, Justin Baldoni terhadap rakan pelakonnya dalam filem It Ends With Us, Blake Lively.
Sebelum ini Lively yang juga isteri pelakon filem Deadpool, Ryan Reynolds turut menyaman Baldoni atas dakwaan gangguan seksual dan tindakan balas dendam.
Hakim Daerah, Lewis Liman, memutuskan bahawa dakwaan difailkan dalam tuntutan mahkamah adalah dilindungi daripada tindakan undang-undang berkaitan fitnah, sekali gus menyekat percubaan Baldoni untuk menyaman Lively atas dakwaan memfitnah.
Pertikaian antara kedua-dua selebriti itu bermula hujung Disember lalu apabila Lively mengambil tindakan undang-undang terhadap Baldoni.
Susulan itu, Baldoni dan syarikat produksinya, Wayfarer Studios, bertindak balas dengan menyaman Lively dan suaminya sebanyak AS$400 juta (RM1.7 bilion) atas tuduhan fitnah dan ugutan.
Dalam keputusannya, Liman turut menolak dakwaan bahawa Lively cuba ‘merampas’ kawalan kreatif ke atas filem tersebut, dengan menyatakan perkara itu tidak memenuhi definisi ugutan di bawah undang-undang California.
“Wayfarer tidak menunjukkan fakta bahawa Lively mempunyai kewajipan untuk mempromosikan filem atau meluluskan bahan pemasaran,” katanya.
Namun begitu, hakim memberikan peluang kepada pasukan guaman Baldoni untuk mengemukakan rayuan jika mereka ingin meneruskan dakwaan berkaitan pelanggaran kontrak.