HIBURAN
Maher Zain Tak Lupa Penderitaan Rakyat Palestin, Guna Pentas Konsert Tunjuk Solidariti - “Kehidupan Harus Diteruskan Tapi…”
Penyanyi terkenal antarabangsa, Maher Zain terus konsisten menyuarakan solidariti terhadap rakyat Palestin tanpa pernah jemu memperjuangkan hak mereka.
Menurut Maher, 44, dia tetap menggunakan media sosial sebagai medium utama menyebarkan kesedaran, selain menjadikan pentas konsert jelajah dunia sebagai ruang menyampaikan mesej kemanusiaan.
“Apabila berada di atas pentas, saya masih berjuang untuk Palestin seperti menyanyikan lagu-lagu Palestin.
“Kehidupan harus diteruskan tetapi tetap tak boleh lupakan mereka yang berada di Gaza.
“Saya akan tetap menggunakan platform saya untuk terus menyuarakan apa yang terjadi di Palestin,“ katanya kepada Gempak.
Maher berkata demikian menerusi siaran langsung (live) semasa sidang akhbar Konsert Jelajah Asia Tenggara menerusi aplikasi Zoom, pada Rabu.
Dalam masa yang sama, penyanyi lagu Number One For Me itu memaklumkan setiap pentas konsert menjadi medium buatnya menzahirkan empati dan solidariti terhadap warga Gaza yang tertindas.
“Memang tak mudah untuk kita ‘move on’ mengenai situasi mereka lebih-lebih lagi apabila tiada seorang pun dapat bayangkan kesakitan mereka di sana.
“Saya akan sentiasa mengingatkan perkara tersebut (Palestin) dalam lagu-lagu saya menerusi konsert jelajah,” ujarnya lagi.
Konsert Maher Zain bakal berlangsung pada 16 Ogos depan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, diikuti The Star Theatre, Singapura pada 21 Ogos 2025 dan Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kota Kinabalu pada 23 Ogos 2025.
Must-Watch Video