BERITA
Luluh Hati Isteri Riezman Khuzaimi Dapat Tahu Abang Meninggal - “Tidak Pernah Ditemukan Sejak Kecil Tapi…”
Isteri kepada pelakon Riezman Khuzaimi iaitu Datuk Azie Sheikh Mohd meluahkan rasa sedih atas pemergian abang kandungnya, Rennie Abdul Ghani yang dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh di laluan Toren, Gunung Rinjani, Pulau Lombok, Indonesia pada Sabtu.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Azie menyifatkan kehilangan itu sebagai satu tragedi memilukan buatnya dan keluarga apatah lagi mereka baru sahaja bertemu semula enam tahun lalu selepas terpisah sejak kecil.
“Innalillahiwainnailaihirojiun. Hari ini hati saya luluh mendapat berita abang kandung yang baru saya temui enam tahun lepas, kini telah pergi buat selamanya dalam satu tragedi yang amat memilukan.
“Pertemuan, ajal dan maut itu kuasa Allah S.W.T. Kami dilahirkan berlain emak tapi satu bapak. Tidak pernah ditemukan sejak kecil, tapi alhamdulillah Allah menemukan juga kami 10 adik-beradik kandung.
“Kami sedang merangkai ikatan sebagai adik-beradik, tapi Allah lebih menyayanginya,”tulisnya.
Dalam pada itu, Azie turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang penyayang dan sentiasa mengambil berat terhadap adik-beradiknya.
“Abang, terima kasih kerana hadir walau sekejap dalam hidup ini. I will always miss your jokes the ones that weren’t really jokes and the way you always cared enough to ask how all our siblings were doing.
“Thank you, Rennie A Ghani, for being the best brother I could ever have. Will miss you a lot,” tambahnya.
Terdahulu, media melaporkan seorang pendaki warga Malaysia dilaporkan terjatuh di laluan Toren, Gunung Rinjani di Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat sekitar 12 tengah hari waktu tempatan, menurut pihak berkuasa taman negara.
Operasi mencari dan menyelamat sedang dilakukan pelbagai agensi melibatkan puluhan anggota daripada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Mataram, pasukan perubatan serta unit Pencarian Dan Pertolongan (SAR) Lombok Timur.
Pihak taman negara menjelaskan pendaki, yang dikenali dengan inisial RAG, dilaporkan terjatuh di kawasan Banyu Urip oleh seorang juru pandu dari agensi pendakian, Juan Adventure Rinjani.
Must-Watch Video