Lelaki Terjun Tingkap Hotel Selepas Bertengkar Dengan Teman Wanita
Seorang lelaki mengambil keputusan ekstrem dengan terjun dari tingkap hotel untuk mengakhiri pertengkaran dengan teman wanitanya.
Insiden ini menyebabkan tingkap kaca hotel itu pecah, sebelum lelaki terbabit melarikan diri dari tempat kejadian.
Rakaman kamera pengawasan yang menunjukkan tindakan lelaki tersebut kini tular di seluruh dunia.
Menurut saluran radio dan televisyen Guizhou, kejadian berlaku sekitar pukul 1 pagi (waktu tempatan) pada 16 April di tingkat satu sebuah hotel di daerah Yuhua, Changsha, wilayah Hunan.
Rakaman yang dirakam menunjukkan pasangan tersebut berdiri di tepi tingkap sambil bertengkar. Tiba-tiba, lelaki itu meletakkan beg galasnya dan terus terjun ke arah tingkap.
Walaupun terhantuk pada kaca tingkap tanpa sebarang kecederaan, lelaki tersebut berusaha sekali lagi. Wanita itu cuba menghalangnya, namun gagal. Lelaki tersebut kembali berlari ke tingkap dan terjun keluar, menyebabkan tingkap itu pecah.
Selepas jatuh dari tingkap, lelaki itu kelihatan berguling di tanah dan cuba mengambil kasut yang terjatuh. Dia kemudian terus melarikan diri dari tempat kejadian.
Menurut seorang pekerja hotel yang ditemubual oleh saluran Guizhou, pasangan tersebut telah membayar ganti rugi atas kerosakan yang berlaku. Oleh itu, pihak hotel tidak membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Sumber: Sinar Harian