HIBURAN
"Lagu Ni Ada Simbol Kegembiraan" - Dina Rjeu, Amad Fadlin Tampil Dengan Lagu Raya Sejahtera Raya Bersama
Penyanyi baharu, Dina Rjeu dan Amad Fadlin, hadir dengan lagu Hari Raya berjudul Sejahtera Raya Bersama, yang mengangkat tema kegembiraan dan kebersamaan dalam meraikan Aidilfitri selepas sebulan berpuasa.
Menurut Dina, atau nama sebenarnya Puteri Addina, lagu ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga membawa makna yang mendalam.
"Kami mahu lagu ini menjadi simbol kegembiraan dan kebersamaan. Harapnya, ia boleh menjadi sebahagian daripada tradisi Raya untuk tahun-tahun akan datang," katanya.

Sementara itu, Amad Fadlin meluahkan keterujaannya untuk melihat kreativiti peminat yang bakal menghidupkan lagu ini dengan cara mereka sendiri.
"Lagu ini mempunyai vibe yang seronok dan mudah diikuti. Tak sabar nak tengok kreativiti korang semua dalam challenge nanti," ujarnya.
Menariknya, lagu ini turut hadir dengan cabaran tarian #SejahteraRayaChallenge, di mana sesiapa sahaja boleh menampilkan kreativiti mereka dan berpeluang memenangi hadiah menarik, termasuk iPhone 16.
Sebagai makluman, Dina merupakan vokalis utama All-Girls Pop Rock Galau Band, yang dikenali dengan gaya muzik pop rock, funk, dan jazz yang unik.
Selain menyanyi, dia juga berbakat dalam bidang pengacaraan, menjadikannya seorang penghibur serba boleh.
Manakala Amad Fadlin pula dikenali dengan vokalnya yang merdu dan kebolehannya membawakan pelbagai genre muzik, daripada tradisional hingga moden.
Majlis pelancaran lagu Sejahtera Raya Bersama KLWC berlangsung di Galeri Pameran KLWC, Bukit Jalil, dengan kehadiran tetamu kehormat termasuk Y.M. Tengku Dato' Dr. Hishammuddin Zaizi dan wakil DBKL.
Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL, Tuan Haji Mohamad Hamim, memuji inisiatif KLWC dalam mempromosikan perpaduan dan kesejahteraan. Acara ini turut menampilkan persembahan budaya serta tayangan perdana muzik video lagu tersebut, melibatkan 25 kakitangan KLWC.


Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosialnya, KLWC menyumbang RM12,500 kepada lima rumah anak yatim sempena Ramadan, mengekalkan tradisi membantu golongan memerlukan setiap musim perayaan.
KLWC juga sedang berkembang sebagai pusat kesejahteraan bertaraf dunia, dengan projek seperti KL International Hospital (KLIH) dan The Nobel Healthcare Park dijangka siap pada 2026. Inisiatif ini bertujuan menjadikan Kuala Lumpur destinasi utama pelancongan kesihatan.
Orang ramai dijemput ke Rumah Terbuka Sejahtera Raya Bersama KLWC pada 19 April 2025 di Galeri KLWC, Bukit Jalil. Maklumat lanjut boleh didapati di 🌐 klwellnesscity.com.
Must-Watch Video