HIBURAN
Konsert M N46IR Cipta Raya Istimewa Buat Peminat, M Nasir Bakal Persembahkan 20 Buah Lagu - “Mungkin Saya Akan…”
Mendapat sambutan luar biasa selepas lagu Satu Hari Di Hari Raya menjadi penutup tirai Konsert M N46IR Cipta 2 pada Oktober tahun lalu memberi satu lagi ilham kepada penganjur Icon Entertainment meneruskan siri konsert dengan Datuk M N46IR Cipta Raya.
Sambutan luar biasa
Berbeza kali ini dengan suntikannya berbeza dan lebih istimewa apabila buat kali pertama dalam sejarah penonton bakal disajikan dengan alunan lagu raya oleh maestro muzik, Datuk M Nasir dalam konsert tersebut.
Penganjur, Iman Tang berkata idea itu terbit selepas menyaksikan lagu Satu Hari Di Hari Raya menjadi fenomena selepas Konsert MN46IR Cipta 2 berakhir.
"Bila M Nasir beritahu beliau memiliki 15 lagu raya dendangannya termasuk ada yang dicipta untuk penyanyi lain, ia sekali gus memberi idea kenapa tidak diadakan konsert yang bertemakan lagu raya.
"Kalau orang tanya kenapa lagu raya? Jawapan saya ringkas sebab orang lain tak pernah buat, jadi saya buat.
"Sewaktu Konsert MN46IR Cipta 2, M Nasir persoalkan keperluan menyanyikan lagu Satu Hari Di Hari Raya bukan pada Syawal, tapi lihatlah bagaimana ia jadi fenomena selama berminggu-minggu," katanya kepada Gempak.
Iman Tang berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Dato M N46IR, di Shook! Hotel Marriot, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Buat kajian
Menurut Iman Tang lagi, dia terlebih dahulu membuat kajian dan memikirkan kelebihan serta kekurangan penganjuran konsert sebelum idea dipersembahkan kepada M Nasir.
"Nak bentangkan sesuatu kepada beliau kena buat 'homework', perlu fikir masak-masak. Kami tak bercakap mengenai konsert, tapi disampaikan melalui orang sekeliling dan beliau terus bersetuju.
"Pada malam konsert, M Nasir tidak hanya menyanyikan lagu nyanyian dan ciptaannya sendiri, tetapi bakal menyanyikan lagu raya kegemarannya daripada penyanyi lain," katanya.
Konsert M N45IR Cipta Raya bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 13 April depan.
20 lagu
Sementara itu, M Nasir memberitahu, dia bakal menyanyikan kira-kira 20 lagu yang sesuai dengan tema konsert itu.
Katanya, konsert itu juga memberi peluang kepadanya untuk memperkenalkan lagu raya ciptaannya yang mungkin sebelum ini tidak diketahui ramai.
"Melalui konsert ini saya dapat beritahu orang lagu raya yang pernah saya cipta. Bagaimanapun, ia akan dipersembahkan dengan cara saya dan susunan muzik baharu.
"Saya harap dapat menyanyikan 20 lagu bersesuaian dengan konsep raya. Mungkin saya akan menyanyikan lagu daripada Al Jawaher yang pernah saya ciptakan untuk mereka.
"Lagu raya yang saya minati tetapi bukan hasil ciptaan saya, antaranya lagu Dendang Perantauan nyanyian Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Esok Hari Raya (dR Sam), Selamat Hari Raya (Allahyarham Datuk Ahmad Jais) dan banyak lagi," katanya.
Must-Watch Video