VIRAL
Kes Zara Qairina: Bukit Aman Ambil Alih Siasatan, Hantar Pasukan Petugas Khas Ke Sabah
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menghantar satu pasukan siasatan khas ke Kontinjen Sabah, bagi mengambil alih siasatan kes kematian pelajar Zara Qairina Mahathir.
Pejabat Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) dalam kenyataannya berkata, sembilan pegawai dan anggota JSJ sudah dihantar ke Sabah.
"Penghantaran pasukan petugas khas ini adalah sebahagian daripada komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan siasatan dilaksanakan secara telus dan menyeluruh.
"PDRM memandang serius setiap kes yang membabitkan kehilangan nyawa.
"Sehubungan itu, PDRM menyeru agar semua pihak memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan profesional, serta mengelakkan daripada membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan," katanya dalam satu kenyataan
Minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan siasatan terhadap kes Zara Qairina akan dijalankan secara telus tanpa ada tolak ansur dan mengarahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M Kumar memantau sendiri kes berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan Zara Qairina ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah agama tempatnya belajar pada pagi 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital keesokannya.
Kematian pelajar Tingkatan Satu itu mencetuskan perhatian meluas susulan dakwaan berlaku insiden buli membabitkan pelajar senior di sekolah berkenaan.
Must-Watch Video