BERITA
Kes Lemas Berulang, UniSZA Keluar Notis Larangan Aktiviti Di Air
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengeluarkan notis larangan serta-merta terhadap semua mahasiswa dan mahasiswi daripada menjalankan sebarang aktiviti riadah di kawasan perairan.
Langkah itu diambil susulan dua kes lemas melibatkan pelajar institusi tersebut di dua lokasi berbeza dalam tempoh kurang seminggu.
Sebelum ini, seorang pelajar lemas di kawasan rekreasi Lata Changkah, manakala seorang lagi maut selepas dihanyutkan kepala air di Hutan Lipur Lata Payung, Setiu pada Jumaat.
Notis larangan yang dikeluarkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniSZA menyatakan arahan itu dikeluarkan atas faktor keselamatan dan akan kekal berkuat kuasa sehingga makluman rasmi selanjutnya daripada pihak universiti.
"Semua mahasiswa/i UniSZA dilarang sama sekali terlibat dengan sebarang aktiviti rekreasi di kawasan perairan atas faktor keselamatan," menurut kenyataan itu.
Pihak universiti turut menasihatkan semua pelajar agar mengutamakan keselamatan dan mematuhi garis panduan ditetapkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Langkah tersebut dilihat sebagai usaha proaktif pihak pentadbiran dalam menjaga kebajikan serta keselamatan warga kampus.
Pada 12 Mei lalu, seorang pelajar, Wan Ahmad Irfan Wan Abdullah Thani, 24, ditemukan lemas selepas dikatakan tenggelam bersama lima rakan ketika mandi di bahagian tengah sungai dalam kejadian di Lata Changkah, Setiu.
Selang beberapa hari kemudian, seorang lagi pelajar, Abed Mifzal Azman, 22, ditemukan lemas selepas dihanyutkan kepala air ketika berkelah bersama enam rakan di Hutan Lipur Lata Payung, juga di Setiu pada Jumaat.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, kawasan Lata Payung tidak selamat untuk aktiviti riadah berikutan cuaca tidak menentu yang boleh menyebabkan berlakunya fenomena kepala air.
“Orang ramai dinasihatkan supaya elakkan sebarang aktiviti di sungai atau lata di Setiu buat masa ini kerana ia berisiko dan boleh mengancam keselamatan," katanya.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video