HIBURAN
Kes Dadah Along Cham Dipinda, Laporan Urine Belum Diperoleh
Peguambela yang mewakili Along Cham, Zaleha Al Hayat memaklumkan bahawa kes dadah yang melibatkan anak guamnya itu akan ditunda pada 24 April ini.
Jelas Zaleha, penundaan sebutan kes itu berikutan pihak pendakwaan masih belum menyerahkan dokumen bagi saringan air kencing.
"Pihak pendakwaan masih belum serahkan dokumen bagi saringan air kencing. Jadi 24 April ditetapkan bagi pihak pendakwaan untuk serahkan dokumen kes urine.
"Hari ini hanya dua dokumen sahaja baru diserahkan iaitu melibatkan kes di bawah seksyen 6 dan 15(1)(a)," katanya kepada Gempak.
Sementara itu, Along atau Muhammad Nizamuddin Ahmad, 42, berkata, penukaran peguam yang dibuat adalah atas persetujuan ahli keluarganya.
Malah Along memaklumkan dia dan dua bekas peguam sebelum ini tiada masalah berbangkit.
Sebelum ini, Along diwakili peguam Datuk Kamal Hisham dan Syed Yusuf Syed Zaid.
“Pertukaran peguam atas persetujuan keluarga sebab tiada salah saya rasa untuk cari peguam yang terbaik untuk uruskan kes saya ni,
“Peguam sebelum ini pun sudah dimaklumkan dan tiada masalah antara kami,” ujarnya.
Sebelum ini pada 28 Februari lalu, laporan kimia membabitkan kes dadah Along sudah diserahkan kepada pihak pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, Along didakwa memiliki bahan disyaki dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 1.49 gram, di sebuah rumah di Cyberjaya pada jam 3.10 petang, 14 Disember tahun lalu.
Along didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pelawak berkenaan turut berdepan dua lagi kes dadah iaitu Along didakwa memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 49.61 gram di lokasi, masa dan tarikh sama.
Along juga didakwa memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan disyaki jenis tetra hydrocannibol (THC) di lokasi sama, pada pukul 10 malam di lbu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, Selangor.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang boleh dibaca bersama 38B akta sama, membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan dikenakan pengawasan tidak kurang dua tahun serta tidak lebih tiga tahun.
Pada 27 Januari lalu, Mahkamah Sesyen Sepang melepas tanpa membebaskannya (DNAA) atas satu pertuduhan dadah jenis kanabis pada 14 Disember lalu.
Must-Watch Video