HIBURAN
"Kempen 'Geng Subuh Macam Jumaat' Bukan Saya Punya, Pakailah Jenama Tersebut" - Alif Satar
Selebriti versatil, Alif Satar syukur kempen yang digerakkannya iaitu 'Geng Subuh Macam Jumaat' sentiasa berterusan dan tidak lenyap begitu sahaja selepas beberapa bulan dianjurkan.
Menurut Alif, dia meletakkan harapan dan misi agar kempen 'Geng Subuh Macam Jumaat' menjadi ikutan sehingga ke pelusuk dunia dan bukannya di Malaysia sahaja.
"Saya syukur bila buat kempen 'Geng Subuh Macam Jumaat' ini pihak masjid sedia membuka pintu menyambut orang ke masjid.
"la bukan satu kempen yang sekali buat dan kemudian senyap begitu saja. Saya pergi mana-mana program di luar negeri pun saya buat juga.
"Tempoh hari saya pergi ke Brunei, Alhamdulillah 5,000 orang sertai. Misi saya bukan saja di Malaysia tapi satu dunia, ia sebuah gerakan global," katanya kepada Gempak.
Alif berkongsi perkara tersebut ketika pelancaran kempen raya Hong Leong Bank selaku duta syarikat kewangan berkenaan bertempat di sebuah hotel di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Dalam pada itu, pelantun lagu Jangan Nakal itu turut menyeru orang ramai terutamanya golongan muda untuk menyokong kempen mulia tersebut.
"Orang Malaysia antara yang paling kuat menyokong kempen ini.
"Geng Subuh Macam Jumaat' ini adalah satu platform untuk menyedarkan dan mengingati.
"Yang paling penting saya mahu ajak orang muda, sekarang ramai golongan muda ini ke masjid," ujarnya.
Alif turut menjelaskan jenama kempen 'Geng Subuh Macam Jumaat itu boleh digunapakai oleh sesiapa pun malah ia boleh dianjurkan tanpa kehadiran selebriti tersebut.
"la bukan satu beban. Bila saya anjurkan, sudah tentu ramai orang yang hadir dari pelbagai negeri.
"Sukar juga kalau seseorang dari luar negeri itu nak hadir ke ibu kota, jadi bila mereka datang sekali kemudian mereka anjurkan pula di tempat atau khariah masing-masing.
"Itu misi dia, tak perlu saya ada pun. Walaupun saya tiada, masjid tetap akan ada anjurkan kempen 'Geng Subuh Macam Jumaat' ini.
"Tak ada saya pun mereka buat ramai juga, ia satu kempen yang bukan saya punya, pakailah jenama tersebut jangan cetak T-shirt dan jual saja," jelasnya.
Must-Watch Video