KELUANG MAN
Keluang Man, Dari Siri Animasi Kini Diangkat Ke Layar Perak
Siri animasi legenda Malaysia yang amat popular dan menjadi fenomena sejak lebih dua dekad lalu, Keluang Man kini diangkat ke layar perak.
Live action
Filem Keluang Man versi ‘live action’ ini diterbitkan oleh Astro Shaw dan diarahkan pengarah siri High Council dan juga penulis filem Polis Evo, Anwari Ashraf.Astro Shaw dengan kerjasama GSC, Idea River Run dan rakan strategik Wonda Kopi, serta produksi Pasal Productions yang memperkenalkan semula IP animasi adiwira legenda ini kepada generasi baharu bakal melahirkan universe adiwira tempatan terbesar.
Keluang Man menampilkan barisan pelakon hebat antaranya Nas Muammar Zar, Datuk Remy Ishak, Datuk Rosyam Nor, Anwaar Beg Moghal, Shweta Sekhon, Halim Othman, Amelia Henderson, Sham Sunder, Dennis Yin dan ramai lagi.
Keluang Man merupakan siri animasi popular dan diminati ramai pada akhir tahun 90-an dan awal 2000-an.
Siri animasi superhero pertama tanah air ini diilhamkan oleh Allahyarham Haji Kamarudin Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan Kamn Ismail bersama pengasas Dan Pemilik UAS Animation, Natashah Datuk Hj Md Noor dan pertama kali disiarkan pada tahun 1998.
Mempunyai 7 musim dengan lebih 140 episod, Keluang Man menampilkan jalan cerita amat unik yang mempamerkan adiwira yang diinspirasikan oleh keluang dan turut diselitkan dengan elemen komedi.
Borhan yang juga Keluang Man ialah seorang pesakit di sebuah hospital mental di Tumpoi dan berubah menjadi superhero bagi membanteras jenayah pada waktu malam dengan bantuan rakannya, Tiong Man.
Watak superhero tersebut tidak mempunyai sebarang kuasa ajaib istimewa tetapi dibentuk dengan ilmu persilatan, naluri dan sikap kejujuran yang tinggi.
Rentetan daripada reaksi positif para peminat dan penonton sejak animasi ini ditayangkan, terdapat banyak permintaan untuk mengembangkan lagi animasi kegemaran ramai ini.
Dengan kehadiran filem baru Keluang Man yang diterbitkan, Astro Shaw dan Iconic Animation Studio komited untuk menghasilkan karya terbaik dengan memastikan legasi Keluang Man terus hidup bersama generasi baharu dan akan datang.
Meskipun jenama ini telah lama disiarkan, namun apabila ia diulang tayang selepas 10 tahun kemudian, ia masih mendapat sambutan baik dan itu membuktikan animasi adiwira ini mampu meninggalkan kesan di hati penonton dan sentiasa relevan mengikut peredaran zaman.
Filem ini akan menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 29 Mei ini.
Must-Watch Video