BERITA
Kelantan Paling Tinggi Kes Penyalahgunaan Dadah
Kelantan muncul negeri yang mencatatkan kadar penyalahgunaan dadah tertinggi di negara ini dengan statistik menunjukkan 1,130 kes bagi setiap 100,000 penduduk.
Statistik tersebut meletakkan negeri itu di tangga pertama, diikuti oleh Terengganu (914 kes), Perlis (965 kes), dan Kedah (898 kes).
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebanyak 192,857 kes penyalahgunaan dadah telah direkodkan di seluruh negara pada tahun 2024.
“Daripada jumlah itu, 61 peratus melibatkan individu berumur antara 15 hingga 39 tahun, golongan yang tergolong dalam kumpulan umur paling produktif.
“Jumlah ini turut melibatkan 56 peratus lelaki dan 75 peratus daripada mereka adalah Melayu, manakala 37 peratus adalah penganggur,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada Khamis.
Selain itu, daerah Pendang di Kedah terus mencatatkan angka tertinggi dalam penyalahgunaan dadah bagi setiap daerah di Malaysia dengan 1,798 kes bagi setiap 100,000 penduduk.
Peningkatan itu jelas ketara berbanding laporan sebelumnya yang mencatatkan 1,333 kes pada tahun sebelumnya.
Selepas Pendang, daerah-daerah di Kelantan seperti Kuala Krai (1,442 kes), Bachok (1,315 kes), Tanah Merah (1,275 kes), dan Pasir Putih (1,265 kes) turut berada dalam senarai tertinggi.
Menurut Ayob Khan, kajian menunjukkan bahawa pengaruh rakan sebaya menyumbang sebanyak 47 peratus kepada penyalahgunaan dadah, manakala 18 peratus pula kerana rasa ingin tahu.
“Faktor-faktor ini menunjukkan perlunya pendekatan menyeluruh yang bukan sahaja memfokuskan kepada penguatkuasaan tetapi juga pencegahan,” ujarnya.
Ayob Khan turut menjelaskan bahawa polis akan meneruskan tindakan agresif membanteras sindiket dadah, seperti yang dilaksanakan melalui Ops Kenari baru-baru ini di Kedah selama lapan hari yang memberi fokus kepada pembekal dan pengedar utama dadah.
Dalam pada itu, polis juga menggalakkan kerajaan-kerajaan negeri melarang penjualan vape bagi membantu pihak berkuasa mengatasi isu penyalahgunaan dadah yang dipercayai turut dicampur dalam rokok elektronik itu.
Ayob Khan berkata, kerajaan negeri boleh berbuat demikian sementara menunggu Kerajaan Persekutuan menggubal undang-undang berkaitan.
Jelas beliau, terdapat negeri yang telah mengambil inisiatif mengharamkan penjualan vape yang dilihat membawa impak baik terhadap masalah penyalahgunaan dadah.
Must-Watch Video