HIBURAN
Kecoh Isu Riders, Juicy Luicy Setuju Dengan Ari Lasso: “Jangan Ambil Kesempatan”
Dunia muzik Indonesia sedang hangat dengan isu riders selepas penyanyi senior Ari Lasso mendedahkan ada dalam kalangan artis baharu membuat permintaan tidak masuk akal kepada pihak penganjur.
Riders adalah istilah permintaan atau syarat khusus yang diberikan oleh artis kepada penganjur. Ia termasuklah tentang makanan sehingga pengangkutan.
Bercakap mengenai isu tersebut, Juicy Luicy mengakui hal riders bukan suatu syarat yang penting buat mereka.
Sebagai salah sebuah kumpulan yang sedang menjadi rebutan para penganjur festival muzik, Juicy Luicy mengaku tidak pernah meminta atau meletak syarat khusus kepada penganjur.
“Kami setuju dengan Ari Lasso jangan aji mumpung (ambil kesempatan).
“Buat Juicy Luicy semua itu tidak penting, jika penganjur sudah menyediakan riders yang telah mereka siapkan, kami terima. Jika tidak ada kami okay. Kita tenang,” ujar vokalis Juicy Luicy, Julian.
Juicy Luicy ditemu bual media Malaysia secara atas talian bersempena dengan penampilan dalam Ruang Inspirasi Festival (RIF) pada 17 Ogos 2025 di Mega Star Arena Kuala Lumpur anjuran Expoindo bersama penganjur konsert tempatan, Thrive.
Wakil penganjur Expoindo, Udzir Harris juga menegaskan ironi tidak banyak pemuzik yang meminta hal pelik atau aneh daripada penganjur.
“Malah untuk terlibat dalam RIF, Juicy Luicy sangat sederhana. Mereka tidak meletakkan syarat atau meminta riders yang tidak masuk akal sehingga kami penganjur pula yang berasa perlu menyediakan yang terbaik buat mereka.
“Apa yang pasti, kami menyediakan banyak makanan Malaysia, nasi ayam, nasi kandar, itu sahaja. Juicy Luicy tidak meminta apa-apa,” ujar Udzir.
Sementara itu bercakap mengenai penglibatan dalam RIF, kumpulan yang cukup tular dengan lagu Sialan dan Lampu Kuning itu mengaku teruja untuk kembali ke Malaysia.
“Kami tidak berfikir banyak untuk kembali ke Malaysia kerana penampilan di RIF akan menjadi momen istimewa buat Juicy Luicy dan peminat.
“Di RIF juga kami akan pertama kali tampil dengan single terkini, Malapetaka. Kami sangat senang untuk membuat persembahan di Malaysia,” ujar Juicy Luicy.
Juicy Luicy akan mengisi slot malam festival yang bersifat kekeluargaan ini dengan menghiburkan peminat menerusi lagu-lagu popular mereka sementara Tulus menjadi penghibur pada sebelah petang.
Harga tiket bagi acara malam membabitkan persembahan Juicy Luicy berharga RM528 (Presale VVIP-Seated); RM328 (Presale VIP-Seated); RM158 (Presale Platinum-Standing); RM258 (Presale Gold-Seated) & RM128 (Presale Silver-Seated). Harga tiket ni adalah ‘Pre Sale’.
Must-Watch Video