BERITA
Kebakaran Gas Putra Heights: Penyewa Dakwa Terpinggir, Tidak Terima Bantuan
Golongan penyewa rumah di Kampung Kuala Sungai Baru, Putra Heights, yang terjejas akibat kebakaran gas minggu lalu, mendakwa tidak menerima sebarang bentuk bantuan sehingga kini.
Mereka berharap pihak berkuasa dapat menilai semula kaedah pengagihan bantuan agar penyewa tidak terus dipinggirkan hanya kerana status pemilikan, apatah lagi apabila mereka turut menanggung kesan sama.
Mereka turut menyatakan rasa terkilan apabila melihat bantuan sampai kepada pemilik rumah, sedangkan mereka yang turut terjejas terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk membaiki barangan yang rosak seperti tilam, perabot dan barangan elektrik.
Salah seorang mangsa, Lailatul Azwa Othman, 37, berkata kejadian yang menimpa kawasan itu dirasakan seolah-olah satu demi satu dugaan tanpa henti bermula dengan letupan paip gas, dan disusuli pula dengan banjir kilat hanya beberapa hari kemudian.
Rumah sewanya turut mengalami kerosakan bumbung semasa kebakaran, namun tindakan tuan rumah hanya menampal secara sementara menyebabkan kebocoran masih berlaku setiap kali hujan turun.
"Masa banjir, kami kena tadah air dari bumbung bocor. Sampai pintu tandas pun tercabut. Barang-barang semua kami baiki sendiri.
"Tilam, perabot, semua rosak. Tapi tak ada siapa bantu. Kami dengar semua rumah yang terjejas dapat bantuan, tapi kami tak dapat apa-apa," dakwanya ketika ditemui Astro AWANI di Putra Heights, pada Jumaat.
Perkara sama dikongsi Noor Fazilah Abu Hassa, 38, yang mendakwa bantuan hanya diberikan kepada pemilik rumah, manakala penyewa seperti mereka seolah-olah tidak diambil kira dalam sebarang bentuk bantuan atau pampasan.
“Bumbung rosak, barang pun rosak… semua guna duit sendiri. Tuan rumah tampal-tampal saja. Bila kami maklum, dia kata nanti. Kami pun bayar sewa tiap bulan, tapi bila susah, itulah...,” ujar seorang lagi penyewa yang kecewa dengan situasi itu.
Lebih menyedihkan, mereka mendakwa tidak menerima walau satu sen bantuan pun selepas insiden kebakaran gas, sedangkan ada rumah pemilik lain menerima sumbangan untuk kerja-kerja baik pulih.
"Tuan rumah dapat bantuan baiki rumah, tapi kami yang duduk sini… satu pun tak dapat. Kami rasa sangat terkilan," katanya.
Sumber: Awani
Must-Watch Video