HIBURAN
“Kalau Ada Persatuan Avanza Nak Berkonvoi, Kami Okey, Tiada Masalah” – Inteam
Kumpulan nasyid popular, Inteam tidak menyangka nama kembali menjadi perhatian selepas sambutan luar biasa terhadap jualan tiket Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun di media sosial, baru-baru ini.
Menurut Inteam yang dianggotai Hazamin, Syahril, Hisyam Ahmad dan Abdul Rahim, mereka gembira konsert tersebut mendapat sambutan sehingga muncul parodi mencuit hati di media sosial.
“Dua ke tiga hari ini kami banyak tersenyum di hadapan telefon. Seronok apabila semua benda mereka nak kaitkan dengan konsert.
“Kami akui ia sangat kelakar dan mengusik hati ramai. Kami gembira dengan apa yang mereka lakukan.
“Kami tak sangka di usia 45 ini, kami kembali menghadapi situasi sebegini,” ujar Inteam kepada Gempak.
Dalam masa sama, Inteam turut berharap bahang keterujaan yang ditunjukkan peminat akan berterusan sehingga hari konsert nanti.
“Kami harap ‘hype’ itu berterusan sampai ke hari konsert nanti.
“Kami tak jangka ia akan viral, selepas itu banyak penaja yang mula masuk.
“Alhamdulillah, kami harap ini bukan sahaja untuk Inteam tetapi untuk industri,” kongsinya.
Ditanya apakah akan membuat kejutan dengan beberapa gimik seperti membawa kenderan jenis Toyota Avanza ke atas pentas, Inteam memaklumkan mereka akan memberikan pengalaman manis buat semua penonton.
“Kami mungkin akan berikan ‘goodiesbag’ kepada penonton yang hadir tetapi ia masih dalam perancangan.
“Kalau ada persatuan Avanza yang berkonvoi juga kami okey, tiada masalah,” seloroh Inteam.
Konsert yang bakal berlangsung di Idealive, Petaling Jaya itu akan menyajikan lebih 25 buah lagu dan medley nostalgia, termasuk penampilan istimewa anak kepada Allahyarham Suhaimi Saad, serta beberapa artis jemputan yang masih dirahsiakan.
Tiket baharu akan mula dijual pada 14 Jun 2025 menerusi platform Ticket Empire, yang boleh diakses melalui laman rasmi konsert: www.kasihkekasih.com.
Must-Watch Video