Hiburan
Jumpa Pelesit Terbakar Dengan Rambut Terkeluar, Caprice Tawar RM30,000 Cari Dalang Pembuat Angkara!
Penyanyi Caprice berang dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang masih percaya dengan ilmu syirik seperti pelesit.
Mengakui pelbagai perkara aneh berlaku kepadanya sejak akhir-akhir ini, kata Caprice dia menemui makhluk itu yang sudah terbakar sepulangnya dari menonton wayang kelmarin.
"Maaf kerana saya sudah tidak seperti sediakala. Saya jarang ambil kisah mengenai perkara spiritual, hantu, sihir semua ni.
"Tetapi sejak akhir-akhir ini banyak perkara pelik berlaku sekeliling saya dan teman-teman saya.
"Saya baru balik dari tengok wayang tiba-tiba terjumpa pelesit yang sudah mati seperti terbakar dengan rambut keluar daripada badannya.
"Saya sudah penatlah! Saya tak tahu apa yang patut saya percaya. Saya mahukan jawapan dan saya rasa mahu menampar individu di sebalik perkara ini sebelum menyerahkannya kepada urusan Tuhan," kongsinya menerusi akaun Instagramnya semalam.
Malah, Caprice menawarkan sejumlah wang sebanyak RM30,000 untuk membongkar individu sebenar di sebalik perkara mistik itu.
"Kali kali nak hantar barang, hantar yang ada tanduklah.
"RM30,000 ganjaran tunai bagi sesiapa yang boleh menenalpasti bomoh dan dalang yang membayar bomoh terbabit," tambahnya.
Dalam video singkat itu, Caprice menunjukkan haiwan terbabit yang telah mati terbakar di hadapan kereta mewahnya di tempat parkir khas.
Sementara itu, ada dalam kalangan netizen yang menasihati Caprice agar segera mendapatkan pendinding bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku.
Malah, perkara itu menarik perhatian penyanyi Ezlynn yang pernah berdepan situasi sama sebelum ini.
"OMG sekarang saya tahu, saya pernah berdepan kejadian sama di atas kenderaan saya. Sangat besar saiznya.
"Saya tertanya-tanya dari mana datang sebab kawasan rumah saya tiada hutan. Saya ingatkan dia sesat, sihir rupa-rupanya..." tulis Ezlynn.
Must-Watch Video