BERITA
Isu Rampas Belon, Penguat Kuasa DBKL Buat Laporan Polis
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menjalankan siasatan lanjut dan mengambil keterangan daripada semua anggota yang terbabit dalam insiden membabitkan tindakan penguatkuasaan ke atas penjaja belon tanpa lesen di kawasan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) malam tadi.
Memetik laporan Berita Harian, dalam satu kenyataan hari ini, DBKL memaklumkan, satu laporan polis sudah dibuat penguat kuasa yang terbabit dalam kejadian itu.
"Sekiranya perlu, DBKL juga akan meneliti penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) dalam tindakan penguatkuasaan bagi memastikan sebarang perkara tidak diingini dapat dielak dari berlaku," katanya.
DBKL berkata, tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan tanpa mengambil kira latar belakang kaum, dengan tindakan penguatkuasaan diambil berdasarkan peraturan ditetapkan dan tidak mempunyai sebarang motif perkauman.
Mengulas insiden itu, katanya, seperti kebiasaan DBKL akan memberi teguran terlebih dulu kepada mana-mana peniaga tanpa lesen yang berniaga di Jalan TAR malam tadi sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan diambil.
"Penjaja tanpa lesen lain sudah memberi kerjasama dan beredar dari kawasan itu, namun seorang penjaja belon enggan mematuhi arahan dan terus berniaga seperti biasa walaupun sudah diberi teguran sebanyak dua kali.
"Ketika teguran ketiga diberikan, penjaja belon itu bertindak agresif dan berlaku sentuhan fizikal apabila beliau menolak petugas penguat kuasa sedang menjalankan tugas," katanya.
Bagi mengelak keadaan menjadi lebih tegang dan menghalang kemungkinan insiden lebih serius, katanya, anggota penguat kuasa berpakaian preman bertindak pantas menenangkan dan memisahkan penjaja terbabit daripada terus mengasari petugas penguat kuasa.
Sumber: Berita Harian
Must-Watch Video