Laman Utama
Isteri Arwah Abam Puas Hati Dengan Keputusan Pembahagian Harta
Isteri kepada Allahyarham Abam, Siti Norhidayah Mohd Ali berpuas hati dengan keputusan tuntutan faraid yang difailkan pada 15 Julai lalu.
Menurut Hidayah, 28, mahkamah menetapkan pembahagian berdasarkan hukum syarak yang membabitkan rumah, kereta dan barang peribadi milik arwah.
"Alhamdulillah dah selesai urusan faraid. Pihak sana (mak mentua) pun akan dapat bahagian mengikut hukum. Saya berpuas hati dengan keputusan mahkamah.
"Mengenai soal berapa banyak duit peninggalan arwah, saya tak boleh kongsikan. Ia terlalu peribadi.
"Namun, apa sahaja yang ditinggalkan arwah adalah termasuk rumah, kereta, semua duit dan barang peribadi iaitu kereta, jam tangan, kasut dan kamera.
"Walaupun pihak sana tak hadir tetapi tidak mengganggu proses mahkamah sebab sudah ditetapkan bahagian.
"Selepas ini, doakan saja yang terbaik buat saya dan anak," katanya kepada Gempak.
Hidayah ditemui selepas selesai prosiding berhubung tuntutan faraid dan hadanah (hak penjagaan anak) di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada Khamis pagi.
Sementara itu, Hidayah turut menafikan spekulasi yang mendakwa kereta milik arwah suaminya sudah ditarik.
"Kereta kena tarik tak benar, kereta masih ada. Tapi saya tak nak komen lebih lanjut. Nanti akan tahu juga," katanya lagi.
Berkenaan wang RM10,000 yang dikeluarkan dari akaun arwah, Hidayah memilih untuk enggan mengulas lanjut.
"Apa saya boleh katakan RM10,000 memang saya ambil tetapi saya masukkan dalam akaun anak. Tak guna satu sen pun," kata Hidayah.
Dalam masa yang sama, Hidayah menyatakan mahkamah menetapkan tarikh baru pada Oktober depan berhubung tuntutan hadanah.
Ini berikutan kegagalan pihak mak mentuanya, Sabariah Arshad untuk hadir ke mahkamah.
Pada Isnin lalu, Nor Hidayah bersama dua orang peguam mengadakan sidang media tergempar di Shah Alam, Selangor bagi menjelaskan berhubung dakwaan dia membuat tuntutan saman terhadap mak mentuanya iaitu Sabariah Arshad.
Sebelum ini, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan mengaku mengeluarkan saman terhadap Hidayah selepas kakak iparnya itu mengeluarkan saman terhadapnya terlebih dahulu.
Must-Watch Video