VIRAL
Ismanira Tuju WhatsApp ‘Lantak Hidup Ke Mati’ Pada Diri Sendiri, Bukan Zayn Rayyan
Ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis bahawa mesej WhatsApp ‘lantak la nak hidup ke nak mati’ sebenarnya ditujukan kepada dirinya sendiri, bukan merujuk kepada kanak-kanak autism itu.
Ismanira Abdul Manaf berkata demikian ketika perbicaraan bela diri hari keempat, kes pengabaian dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap Zayn Rayyan di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh.
Ketika diajukan soalan tambahan, Ismanira, 30, menghantar mesej itu kepada suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 30, ekoran kehilangan anak sulung mereka pada 5 Disember 2023.
“Pada hari tersebut, selepas menyedari anak hilang, saya berada dalam keadaan sedih dan kelam-kabut.
“Saya hantar mesej begitu supaya suami saya cepat-cepat pulang membantu, mesej itu tidak maksudkan ditujukan kepada Zayn Rayyan tapi kepada diri saya sendiri,” katanya disoal peguam, Haresh Mahadevan.
Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, perkataan seumpama itu digunakan kerana mahu menarik perhatian suaminya.
Dalam prosiding pada Rabu, semasa disoal Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Ismanira mengesahkan, nama ‘Manja’ disimpan dalam senarai nombor telefonnya merujuk kepada Zaim Ikhwan.
Sementara ‘Baby Sayang’ katanya, merujuk kepada Ismanira dalam telefon milik Zaim Ikhwan.
Pendakwaan: Saya cadangkan, setuju atau tidak, puan telah menghantar mesej pada jam 12.20 tengah hari 5 Disember 2023 menggunakan nombor telefon berakhir dengan angka 578 kepada kepada suami, berakhir nombor 158, setuju?
Ismanira: Tidak pasti.
Pendakwaan: Ada juga mesej pada waktu dan tarikh sama tertera mesej ‘dia lari’.
Ismanira: Setuju.
Pendakwaan: Saya cadangkan, puan setuju atau tidak, menggunakan nombor telefon yang sama, ada mesej tertera ‘letih gila aku mencari’.
Ismanira: Jika ikut dokumen yang diberikan ini, saya setuju.
Pendakwaan: Rujuk pula pada jam 12.22 tengah hari, pada tarikh sama, ada mesej ‘geram betul’, setuju?
Ismanira: Setuju.
Pendakwaan: Saya cadangkan, semua mesej ini, puan hantar kepada Zaim Ikhwan selepas Zayn Rayyan hilang.
Ismanira: Setuju.
Pada 7 April lalu, Sinar Harian melaporkan, Juruanalisis Unit Siasatan Jenyah Komputer Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Asisten Superitenden Mohd Zaidi Abu Hassan berkata, terdapat perbualan 'rasa mcm nk bunuh orang je’ dalam aplikasi ‘WhatsApp’ antara dua nombor pada 20 Jun 2023.
Pada hari kejadian kehilangan Zayn Rayyan, 5 Disember 2023 pula, saksi pendakwaan ke-25 itu berkata, ada perbualan di aplikasi sama antaranya 'Zayn hilang’, ‘dia lari', 'lantaklah nak hidup ke nak mati' dan 'letih gila aku mencari'.
Katanya, ia diperoleh hasil pemeriksaan dan analisis ke atas telefon Huawei yang mana perbualan itu melibatkan tarikh 20 Jun, 11 Oktober, 20 Oktober, 1 Disember dan 5 Disember tahun sama.
Prosiding bersambung pada 4 Ogos depan.
Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam, keesokkannya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, jam 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200meter dari blok kediamannya.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video