BERITA
Iran Isytihar Perang 12 Hari Dengan Israel Tamat
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, mengumumkan secara rasmi berakhirnya "perang 12 hari" dengan Israel, menerusi satu mesej kepada rakyat yang disiarkan oleh agensi berita rasmi IRNA pada Selasa.
“Hari ini, setelah ketabahan wira bangsa kita, yang keazamannya mencipta sejarah, kita menyaksikan terciptanya gencatan senjata dan pengakhiran perang 12 hari ini yang dikenakan oleh 'adventurisme dan provokasi' Israel,” kata Pezeshkian seperti dipetik agensi berita AFP.
Sebelum itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Isnin mengumumkan bahawa satu gencatan senjata sepenuhnya dan menyeluruh antara Israel dan Iran akan berkuat kuasa bagi menamatkan konflik yang telah mencetuskan kebimbangan global.

“Israel dan Iran telah mencapai persetujuan penuh untuk melaksanakan gencatan senjata sepenuhnya (dalam kira-kira enam jam dari sekarang, apabila misi akhir mereka selesai), selama 12 jam. Selepas itu, perang ini akan dianggap tamat,” katanya.
Dalam kenyataan yang sama, Trump menyatakan keyakinannya bahawa perjanjian ini merupakan satu langkah penting ke arah penamatan konflik yang telah meningkatkan ketegangan ketara di Asia Barat sejak beberapa minggu lalu.
Must-Watch Video