BERITA
Inspektor Polis Ditahan Kes Rogol, Minta Suapan & Habuan S*ks
Seorang inspektor polis ditahan selepas disyaki terbabit kes rogol, meminta suapan dan habuan seks.
Pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda berusia 29 tahun itu ditahan selepas dua laporan berasingan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis pada 3 dan 4 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati pegawai berkenaan disyaki menggunakan pengaruhnya sebagai pegawai penyiasat untuk mendapatkan perkhidmatan seksual daripada individu berkaitan siasatan.
"Saya mengesahkan kes ini masih dalam siasatan bersama SPRM.
"Suspek kini direman empat hari bagi membantu siasatan dan selepas ini akan diserahkan kepada SPRM," katanya pada sidang media di IPD Kuala Muda Sungai Petani, Kedah.
Menurut Hanyan, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan.
"Siasatan tertumpu kepada menyalahgunakan kedudukannya sebagai pegawai penyiasat untuk memaksa mangsa atau adakah berlaku hubungan seksual yang tidak mendapat kerelaan," katanya.
Sumber: Harian Metro
Must-Watch Video